SIBU - Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah mengeluarkan dividen bernilai RM1 bilion kepada pemilik tanah yang menyertai skim pembangunan tanahnya sejak ditubuhkan pada 1976.
Bagaimanapun, dividen bernilai kira-kira RM10 juta masih belum dituntut oleh beberapa pemilik tanah.
Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kebanyakan pemilik tanah tidak boleh dikesan.
"Ini agak pelik. Apabila pemilik tanah yang lain menerima dividen mereka, pemilik tanah itu sepatutnya tahu tentangnya dan datang ke SALCRA untuk menuntut dividen mereka," kata Uggah ketika ditemui pemberita selepas majlis pembersihan tanah Ladang Kelapa Sawit Sekuau hari ini.
Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata SALCRA akan meminta bantuan pemimpin masyarakat dan wakil rakyat untuk mengesan pemilik tanah atau waris mereka.
Kepada soalan, Uggah berkata tiada tempoh masa untuk mengesan pemilik tanah atau waris mereka dan wang mereka akan disimpan oleh SALCRA dalam rizabnya sehingga mereka atau waris mereka dijumpai.
Sementara itu, mengenai projek kelapa sawit Sekuau di bawah SALCRA di tanah seluas 200 hektar, Uggah berkata SALCRA tidak akan mengambil kayu berharga di kawasan itu.
"Kerja pembersihan akan dilakukan oleh pihak lain yang perlu mendapatkan persetujuan daripada pemilik tanah dan pemilik tanah perlu dibayar," kata Uggah.
Selain kelapa sawit, beliau berkata SALCRA juga meninjau untuk mengembangkan bidang penternakan di ladang kelapa sawit, yang kini sudah terdapat 2,000 ekor lembu.
Beliau berkata SALCRA merancang untuk menubuhkan sebuah ladang pembiakan yang menyasar untuk menghasilkan 1,000 anak lembu setahun, katanya.
Uggah berkata SALCRA juga akan mengembangkan sayapnya ke kawasan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan di Wak, Pakan. - Bernama