Zii Jia selesa tampil sebagai pemain 'underdog'

Iklan
Foto sumber allenglandbadminton.com

KUALA LUMPUR - Lee Zii Jia, yang diberi tanggungjawab menjadi pemain perseorangan lelaki utama, selesa tampil pada saingan Piala Sudirman 2019 sebagai pemain 'underdog'.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata, menganggap sebagai pasukan bukan pilihan dalam kejohanan berpasukan campuran itu akan membolehkan beliau dan rakan sepasukan turun tanpa tekanan.

Iklan
Iklan

Kejohanan yang bermula 19 hingga 26 Mei di Nanning, China itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D, bersama-sama dengan China dan India.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kekuatan dalam acara beregu berbanding India tetapi barisan pemain perseorangan India berada di ranking dunia yang lebih baik.

Iklan

Walaupun sedikit kecewa tidak diiringi ketua jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek, beliau tetap bersedia menyahut cabaran meskipun sedar lawan yang akan dihadapinya bukan calang-calang pemain.

"Ini satu peluang untuk saya bersaing dengan pemain terbaik dan ia satu cabaran yang baik juga buat saya. Saya harap boleh sahut cabaran dan bermain dengan bersungguh-sungguh. Ini juga pengalaman bermakna buat saya," katanya.

Iklan

Memegang azimat daripada Misbun untuk sentiasa memperkuatkan mental, Zii Jia yang menduduki ranking ke-20 dunia, dijangka akan berdepan Shi Yuqi, pemain nombor dua dunia atau Chen Long (pemain nombor 5 dunia) ketika menentang China, dan dijangka berdepan K.Srikanth (nombor sembilan dunia) apabila Malaysia bertemu India.

Skuad negara hanya mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi dua tahun lepas di Gold Coast, Australia.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China. - Bernama