HULU SELANGOR - Seorang warga emas maut sementara empat lagi terselamat dalam kemalangan di Kilometer 74 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berhampiran Kampung Sungai Serian, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah Abd Samat Idris, 71, akibat tersepit dalam kenderaan yang dinaiki bersama anak-anak dan cucunya, Mohd Shahril Abd Samat, 31, Mohammad Nazrie Abd Samat, 29, Zahra Humaira Mohammad Nazrie, 5, dan Nurul Huda Hafizi, 5.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kejadian berlaku pada jam 2.20 pagi melibatkan kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari Seri Iskandar, Perak, ke Jengka Pahang.
"Kereta dipandu Mohd Shahril terbabas sendiri sehingga melanggar penghadang besi sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai dan tersangkut di tepi paip jambatan.
"Dalam kemalangan ini, Abd Samat yang duduk di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Artikel Berkaitan