KUANTAN - BN Pahang yakin Ahli Parlimen dan Adun perikatan itu termasuk Umno tidak akan berpaling tadah seperti yang diingatkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Namun, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil perhatian tentang kenyataan Ahmad Zahid yang mengatakan ada gerakan membeli Ahli Parlimen dan Adun Pahang untuk berpaling tadah seterusnya menjatuhkan BN di negeri ini.
"Saya ambil perhatian dan pandangan atas kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saya yakin Adun-adun dan Ahli Parlimen akan memberi sokongan yang kuat dan masih setia bersama BN dan Umno," katanya.
Menteri Besar Pahang itu berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan SUK di sini.
Portal Umno Online semalam melaporkan, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata, ada gunting dalam lipatan yang mengugut dan memujuk Ahli Parlimen dan Adun agar kerajaan BN Pahang tumbang.
"Saya ingatkan orang Pahang bahawa sudah ada gunting dalam lipatan. Saya tidak menuduh tetapi kita harus berhati-hati.
"Kita harus membendung agar Ahli Parlimen dan Adun di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu (tidak memaklumkan nama)," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata beliau terkejut dengan pendedahan yang dinyatakan Ahmad Zahid pada program retreat Umno Bahagian Temerloh yang turut dihadirinya semalam.
"Pasal perkara itu, kena tanya dengan Zahid... saya dengar dia cakap sahaja... mungkin dia dapat maklumat itu daripada mana mana dan saya pun tak boleh nak cakap ada ataupun tidak kerana saya pun terkejut (dengan kenyataan zahid),"katanya.