SEREMBAN - Demi mencari lebih kepuasan dalam berdakwah, Ustaz Mohamad Rahmat Mukhtar, 39, sanggup meninggalkan jawatan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) di sebuah sekolah swasta di sini hujung tahun lalu.
Jiwanya kini lebih terarah kepada menyebar risalah ALLAH dengan misinya membawa Nabi Muhammad SAW ke dalam corak kehidupan seluruh umat Islam.
Anak kelahiran Bachok, Kelantan itu berkata, beliau bermula mendalam ilmu agama di sekolah pondok ketika berusia 21 tahun di Pasir Tumboh, Kelantan.
"Saya asal bukan pelajar agama. Saya belajar Sijil Kejuruteraan Awam Pembinaan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang pada 1998.
"Tapi mungkin disebabkan doa ibu bapa ditambah dengan keturunan keluarga saya yang ada bergelar guru pondok, timbul rasa minat. Lagipun hasrat ayah untuk lihat saya dalami ilmu agama," katanya kepada Sinar Harian.
Bermula dari situ 'penjelajahan' Mohamad Rahmat dalam mencari ilmu agama di sekolah pondok dan berguru dengan pelbagai ustaz sehingga dia ke Yaman pada 2006 untuk belajar di Darul Mustaffa.
Katanya, sekembalinya ke Malaysia pada 2009 dia ditawarkan berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Seremban.
"Kemudian saya dilantik sebagai PKHEM dan hujung tahun lalu, saya buat keputusan berhenti kerana nak beri tumpuan sepenuhnya sebagai pendakwah dan mutawif.
"Hati saya membuak untuk sebarkan ilmu ALLAH. Bukannya bila saya bekerja dulu, saya tak boleh berdakwah tapi agak terhad dan kini saya mendapat kepuasan sebenarnya," katanya.
Mohamad Rahmat berkata, beliau tidak pernah menyesal dengan keputusannya itu kerana yakin dengan rezeki ALLAH selain percaya jika niatnya baik, hidupnya akan dipermudahkan.
Menurutnya, dia bukan sahaja memiliki sebuah rumah, malah tiga kereta yang memudahkan urusan keluarganya.
"Jika orang tanya saya jadi pendakwah ini boleh hidup ke? Saya tak tahu, tapi rezeki ALLAH ada untuk saya dan kehidupan saya bersama isteri dan empat anak dipermudahkan," katanya.
Ditanya adakah mahu mendalami agama perlu ke sekolah pondok, Mohamad Rahmat berkata, ia bergantung kepada minat seseorang tetapi proses pengajiannya lebih mendalam.
Katanya, persekitaran yang menenangkan selain proses pembelajaran secara berguru itu membuatkan perjalanan dalami agama itu lebih mudah.
"Pokok pangkalnya bergantung pada hati. Kalau kita ikhlas menuntut ilmu, kita akan dapat semuanya.
"Tapi sekarang di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan pun sudah ada kokurikulum bersepadu yang pelajarannya sama seperti di pondok," katanya.
Katanya, generasi hari ini lebih bertuah berbanding dahulu kerana dengan kemudahan teknologi maklumat membolehkan mereka mendapat pelbagai ilmu agama dengan mudah.
Tapi sayangnya kata Mohamad, ilmu yang mudah untuk dicari itu tidak dijadikan amalan dalam hidup.
"Ilmu senang dapat berbanding zaman saya dulu perlu cari ustaz dan ustazah. Tapi tiada amal.
"Amalan sosial generasi sekarang sangat membimbangkan dan ia juga jadi cabaran di sekolah agama. Sebab itu walau macam mana sekali pun ilmu agama itu perlu ada yang dapat dijadikan benteng dalam hidup setiap orang," katanya.