PUCHONG - Tidak tahu apa puncanya tujuh kenderaan diletakkan di tepi Jalan Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini hangus dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.06 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong bergegas ke lokasi dan sampai sembilan minit kemudian."Sebaik tiba di lokasi didapati api marak membakar tujuh kenderaan pelbagai jenis yang diletakkan di tepi jalan.
"Anggota bomba menggunakan kaedah dua aliran salur bantu, aliran hos dan 'foam' serta api pam jentera untuk padamkan api," katanya.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Tiada kemalangan jiwa dilapor dalam kejadian terbabit.