PUTRAJAYA - Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) akan memfokuskan kepada usaha komunikasi dakwah yang akan disampaikan dalam bentuk mudah difahami dan disenangi oleh golongan sasar.
Pengerusinya yang baharu, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kerja-kerja dakwah akan giat dijalankan kepada wanita di negara ini sama ada kepada orang Islam mahupun mereka yang bukan beragama Islam.
"Dalam zaman teknologi ini, kita kena sampailkan dakwah dalam bentuk yang orang ramai suka dan mahu dengar.
"Inilah cabaran kita selepas ini. MPWIM yang dibarisi oleh pelbagai kepakaran seperti teknologi maklumat, media, kewartawanan dan sebagainya akan melakukan komunikasi dakwah supaya ia sampai ke hati masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk MPWIM di ibu pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Putrajaya semalam.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Yadim, Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz.
Pada majlis itu, seramai 30 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang dilantik sebagai ahli MPWIM untuk tempoh dua tahun.
Ia menyaksikan bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Siti Norlasiah Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Ustazah Maznah Daud masing-masing dilantik sebagai Penasihat MPWIM.
Antara tokoh wanita yang dilantik mengangotai MPWIM termasuklah Ahli Dewan Negara, Senator Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi; pakar kewangan, Rohani Mohd Shahir dan Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Ai Pao (pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia).
Turut dilantik menganggotai MPWIM, dua selebriti iaitu Nabila Shila Lama Abdullah dan Abby Abadi.
Mengulas lanjut, Hafidzah berkata, pihaknya akan berkolaborasi dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdapat di negara ini bagi mencapai matlamat MPWIM.
"Dengan sumber dan rangkaian yang dimiliki Yadim, insya-ALLAH kita akan kumpulkan NGO yang ada untuk bincang dan tentukan bagaimana kita bergerak nanti.
"Semua ini dilakukan untuk pembelaan dan pembinaan wanita kerana umum tidak akan lihat apa yang kita sampaikan selagi kebajikan mereka tidak dijaga. Apabila rasa terbela, baharu mereka akan dapat keindahan Islam yang rahmatan lil alamin itu," katanya.
Sementara itu, Nik Omar dalam ucapannya berkata, beliau yakin barisan ahli MPWIM yang baharu dilantik mampu melaksanakan tugas dengan baik dan berupaya mengangkat nama Yadim.
"Dengan kepelbagaian latar belakang seperti daripada bidang pendidikan, penyelidikan, kewangan dan selebriti, dengan fokus utama untuk menyumbang kepada dakwah dan isu-isu wanita, saya yakin MPWIM boleh memainkan peranan dengan baik.
"Wanita juga ada kekuatan tersendiri yang tidak ada pada lelaki," jelasnya.