KUALA LUMPUR - Perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang akan mengalami perubahan jadual waktu tren bermula 21 Disember hadapan berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih landasan.
KTM Berhad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perubahan itu dilaksanakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad minggu keempat dan kelima Disember serta minggu pertama Januari 2019.
"Kerja-kerja penyelenggaraan landasan akan berlangsung terus-menerus selama 30 jam mulai hari Jumaat, pukul 11 malam dan akan tamat pada Ahad, 5.00 pagi mengikut tiga fasa dan hanya melibatkan tren komuter sahaja," kata kenyataan itu.
Bagi fasa pertama yang bermula 21 Dis hingga 23 Dis, perubahan jadual waktu akan melibatkan 19 tren komuter (lapan tren dari KL Sentral dan 11 tren dari Pelabuhan Klang) sementara fasa kedua (28 Dis hingga 30 Dis) akan melibatkan 22 tren komuter (14 tren dari Pelabuhan Klang dan lapan tren dari KL Sentral).
Manakala fasa ketiga yang bermula 4 Jan hingga 6 Jan 2019 akan melibatkan enam tren iaitu satu tren dari KL Sentral dan lima dari Pelabuhan Klang.
"Kerja-kerja penyelenggaraan landasan ini perlu dilakukan bagi tujuan keselamatan selain memberi keselesaan kepada perjalanan tren di laluan KL Sentral ke Pelabuhan Klang,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan kelancaran, KTM Komuter akan menempatkan kakitangan yang mencukupi bagi membantu para penumpang di stesen-stesen yang terlibat sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.
Untuk maklumat lanjut berhubung perubahan jadual, pengguna perkhidmatan KTM Komuter boleh merujuk laman sesawang web KTM Berhad, www.ktmb.com.my, @ktm_berhad(twitter), @ktmofficial (instagram) atau hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200. - Bernama