SHAH ALAM - Isu pinjaman pendidikan perlu dihentikan daripada terus menjadi bahan politik kerana ia melibatkan masa depan peminjam yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, isu ini sepatutnya tidak dipolitikkan dari awal lagi bagi mengelak isyarat salah kepada peminjam apabila terlalu banyak janji manis politik yang diberikan mengenai perkara itu.
"Peminjam akan beranggapan bahawasanya tidak salah bagi mereka untuk terus berlengah-lengah, menangguhkan serta untuk tidak terus membayar balik segala pinjaman pendidikan yang telah mereka buat.
ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN jangan tekan peminjam belum bekerja, kata Anwar
"Akhirnya ia akan mengakibatkan mereka menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan di masa hadapan kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, pihaknya juga bercadang menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.
Dalam pada itu, Dr Muzaffar Syah berkata, tidak salah sekiranya ada pihak lantang bersuara untuk membantu peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman.
"Namun satu perkara pokok yang paling penting dalam perkara ini ialah setiap daripada diri peminjam perlu diberitahu dengan tegas bahawa setiap hutang yang dibuat perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang telah dibuat serta tanpa berlengah-lengah.
"Kerana, pihak yang terlibat dengan pemberian pinjaman telah bertungku-lumus memastikan peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman dengan cara penuh tertib, hikmah serta mengikut budi bicara semua pihak terlibat,” katanya.
Tambahnya, adalah amat menyedihkan isu pinjaman pendidikan sentiasa muncul tiap kali tibanya musim pilihan raya di negara ini.
"Sudah pasti peminjam akan mengambil jalan mudah untuk mencari mana-mana pihak yang sudi menabur pelbagai jenis janji manis bagi meringan beban hutang mereka.
"Akibatnya, peminjam berkenaan akan terus berlengah-lengah untuk membayar kembali pinjaman yang telah dilakukan oleh mereka sendiri kerana mengharapkan segala janji manis yang telah diberikan kepada mereka ditunaikan oleh pihak yang terlibat,” katanya.