ALOR SETAR - Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS) telah melancarkan Pusat Bekalan Makanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di 17 masjid dalam daerah Kota Setar dan berharap tiada golongan yang tercicir dan meminta-minta kepada pihak tidak sepatutnya.
Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Burhanuddin Ahmad berkata, program ini diadakan secara berkala oleh LZNK setiap bulan bagi membantu asnaf fakir miskin yang terputus bekalan makanan dalam kariah masing-masing.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ia merupakan hasrat dan gagasan murni yang telah diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.
"Pihak kami bersama penolong amil kariah sedaya upaya cuba untuk menjejaki asnaf fakir miskin di segenap pelusuk kariah melalui program yang dianjurkan ini dan berharap warga kariah yang memerlukan dapat dibantu," katanya.
Burhanuddin berkata, sebuah masjid dilantik menjadi Pusat Bekalan Makanan LZNK dan terdapat beberapa masjid di bawahnya yang akan mendapatkan set bantuan barangan makanan daripada pusat bekalan untuk dibawa pulang ke kariah masing-masing.
Menurutnya, setiap masjid menerima 30 set bantuan barangan makanan yang setiap satunya mengandungi lapan barangan iaitu beras, sardin, gula, minyak masak, kicap, sos, biskut dan serbuk teh.
"Program yang berlangsung selama dua hari ini telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama 95 masjid melalui para penolong amil kariah yang dilantik oleh LZNK," katanya.