KUALA LUMPUR - Sebagai menyahut cabaran digital dalam era sumber maklumat sentiasa berada di hujung jari, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan aplikasi ‘MyRailtime’ bagi membantu orang ramai menyemak jadual perjalanan, waktu ketibaan dan pelepasan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Tanjung Malim mengikut waktu sebenar.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar sama ada Google Play Store dan IOS lain itu dijangka memudahkan penumpang menyemak jadual perjalanan kereta api mengikut masa sebenar (real-time) bermula dengan perkhidmatan KTM Komuter.
"Penggunaan aplikasi ini membolehkan pengguna mendapatkan maklumat tepat mengenai masa pelepasan dan ketibaan tren KTM Komuter terutama bagi mereka yang menggunakan kemudahan pengangkutan awam berkenaan setiap hari.
"Kita juga bercadang memperluaskan penggunaan sistem digital dalam pengoperasian tren serta penyediaan kemudahan nilai tambah seperti wifi dalam tren Skypark Link dan ETS, mod pembayaran tanpa tunai bagi KTM Komuter di Lembah Klang sejak 10 Sept lalu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MyRailtime di KL Sentral di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KTM Berhad Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Al Bakri.
Loke berkata langkah itu selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai bersabar dan memahami punca utama kelewatan ketibaan tren KTM Komuter terutama di Lembah Klang adalah kerana kerja menaik taraf landasan perkhidmatan rel berkenaan.
Beliau berkata fasa pertama kerja menaik taraf landasan KTM Komuter berkenaan bakal siap pada pertengahan tahun hadapan, manakala fasa seterusnya beberapa tahun lagi.
"Keadaan itu menyebabkan kadar kekerapan dan ketibaan KTM Komuter sekarang menjadi 45 minit sekali berbanding 20 minit sebelum ini.
"Jadi dengan adanya penggunaan aplikasi ini, saya berharap ia dapat membantu pengguna KTM Komuter merancang perjalanan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rani berkata untuk fasa seterusnya, KTMB dalam usaha mengemas kini aplikasi tersebut secara berperingkat agar boleh digunakan bagi tren Komuter Utara, ETS dan KTM Antarabandar (Intercity).
"Ia akan dikemas kini secara berperingkat dan dijangka boleh diguna pakai untuk semua perkhidmatan mulai September ini,” katanya.
Beliau berkata KTMB juga menyasarkan sekurang-kurangnya satu juta pengguna akan menggunakan aplikasi tersebut menjelang akhir tahun ini berdasarkan statistik penumpang KTM Komuter, ETS dan KTM Antarabandar (Intercity).- Bernama