Cadangan sekat ke luar negara tidak perlu dipertimbangkan

Iklan
Afif Bahardin

GEORGETOWN - Cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman adalah amat dikesali.

ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, PTPTN tidak sepatutnya memperkenalkan semula amalan yang dipraktikkan kerajaan lama, BN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan juga tidak sepatutnya mempertimbangkan cadangan tersebut.

"Saya ingin mengingatkan Wan Saiful bahawa isu PTPTN menjadi 'rallying cry' bagi Pemuda PH. Ini kerana, sebelum PRU 14 lalu, kami menggerakkan pemuda dan pemudi seluruh negara agar PTPTN mencari satu formula yang lebih berkesan untuk masa akan datang.

Iklan

"Ia juga menjadi salah satu faktor penentu golongan belia di negara ini mengubah sokongan mereka kepada PH lalu menumbangkan rejim kleptokrat BN pada PRU14 lalu," katanya dalam satu kenyataan kepada media tadi.

Beliau yang juga Exco Pertanian dan Kesihatan berkata, walaupun ia berbentuk cadangan, ia dilihat seperti mengkhianati perjuangan awal golongan muda PH.

Iklan

"Walaupun ianya hanya niat dan cadangan sahaja untuk melaksanakan amalan tersebut, ia seperti telah mengkhianati perjuangan awal pemuda pemudi PH.

"Saya rasa, jika Wan Saiful tidak mampu untuk mempertahankan janji PH, adalah lebih baik beliau memikirkan posisi beliau dalam PTPTN sebagai pengerusi badan tersebut," katanya.

Afif turut meminta campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu tersebut.

"Saya mohon agar Tun masuk campur dalam hal ini kerana ia melibatkan janji PH selain aspirasi anak muda yang tidak ingin melihat isu kos sara hidup tinggi menjadi satu lagi beban kepada generasi yang akan datang," katanya.

Terdahulu, PTPTN menyatakan bahawa cadangan agar agensi tersebut menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.

Wan Saiful berkata, bagaimanapun ia bukan cadangan PTPTN tetapi pihak berkaitan dan idea-idea daripada konsultasi rakyat tersebut akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan dan Kabinet.

Tambahnya, sekiranya isu sekatan atau senarai hitam peminjam terus diutarakan sepanjang tiga minggu sesi konsultasi rakyat dijalankan, pihaknya akan membawa perkara itu kepada peringkat tertinggi.