Nenek risau fikir nasib cucu

Iklan
Malisa (tiga dari kiri) tidak dapat menahan sebak ketika diberitahu Anthony (dua dari kanan) bahawa cucunya akan menerima wang pencen penakat peninggalan mendiang anaknya.

HUTAN MELINTANG - Hati nenek mana yang tidak tersentuh apabila memikirkan nasib cucu lelakinya kehilangan ibu yang juga anak perempuannya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 6 Mei lalu.

Bagi M. Malisa, 59, kehilangan anak sulungnya mendiang M. Wanitha dalam kemalangan jalan raya di KM392 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada hari kejadian meninggalkan kesan besar buat keluarganya.

Iklan
Iklan

"Sebelum kejadian anak saya dalam perjalanan pulang ke rumah kami di Sungai Sumun, Hutan Melintang dari rumah adiknya di Sungai Buloh, Selangor dan mereka keluar seawal jam 5 pagi.

"Apabila mereka sampai antara Tanjung Malim ke Behrang, lori yang dinaiki anak saya dan dipandu adiknya terlibat dalam kemalangan dan dia cedera parah hingga menyebabkan dia maut," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Teluk Intan, di kediamannya di Sungai Sumun, Bagan Datuk, di sini baru-baru ini.

Iklan

Menurut Malisa, anak sulungnya itu merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki N. Matheswaran berusia 12 tahun yang tinggal bersama dengan dia dan suaminya.

"Anak saya itulah harapan kami, dia banyak membantu keluarga terutamanya dari segi perbelanjaan keluarga jadi pemergiannya amat dirasai lebih-lebih lagi oleh anaknya sendiri.

Iklan

"Saya sedih memikirkan nasib cucu saya kecil-kecil lagi sudah kehilangan emaknya dan apalah nasib dia nanti kalau saya tiada," katanya.

Malisa (dua dari kiri) menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 daripada Anthony (kanan) sambil diperhati cucunya Matheswaran (dua dari kanan).

Sementara itu, Pengarah PERKESO Perak, Anthony Arul Dass yang turut hadir menziarahi keluarga berkenaan menzahirkan rasa dukacita dan pihak PERKESO menyampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 kepada Malisa.

"Skuad Perkeso Prihatin Teluk Intan telah menjalankan siasatan dan hasil pemeriksaan mendapati mendiang pernah bekerja dan majikannya telah membuat caruman.

"Semua caruman tersebut telah diambil kira untuk kelayakan Pencen Penakat yang akan diberikan kepada anak mendiang sebanyak RM342 sebulan sehingga anaknya berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama," katanya.