TANAH MERAH - Tiada upaya untuk ibu ini memberikan yang terbaik buat anak syurganya, tetapi, hanya itu termampu dilakukan demi melihat anaknya sihat.
Dalam keadaan terpaksa itu, Raja Rasiah Raja Ibrahim,48, terpaksa memberikan anaknya minum air daripada nasi sebagai menggantikan susu khas.
Tidak ada ibu yang sanggup tidak sanggup melihat anaknya terus berlapar, namun apalah dayanya... hanya cara itu yang mampu dibuat mengikut keadaannya yang tidak mampu.
Bantuan yang diterima setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan anaknya, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 18.
Mohd Amier Firdaus yang mesra disapa Abe Ngoh hanya mampu terlantar selepas terlibat kemalangan lebih dua tahun lalu.
Hati Raja Rasiah bagaikan direntap setiap kali terpaksa menggantikan susu dengan air nasi.
Tetapi, memikirkan tahap kesihatan anak yang semakin merosot kerana tidak cukup belanja untuk membeli susu khas, dia terpaksa... demi anaknya.
"Saya terpaksa bagi minum air dari nasi yang dimasak dengan harapan ia mampu menggantikan susu khas berkenaan.
"Saya juga pernah cuba tukar susu biasa untuk jimatkan kos, tapi badan anak saya tak boleh terima dan keadaannya menjadi lesu lepas minum susu lain.
"Belanja untuk lampin dan susu khas Abe Ngoh mahal sampai mencecah RM2,000 sebulan. Susu khas tu RM87 setin,” katanya.
Isteri kepada Mohd Hijazi Ismail, 56, ini juga sudah seperti ketua keluarga menggantikan suaminya yang juga mengalami masalah kesihatan.
"Suami ada kencing manis, dia tak mampu lagi buat kerja berat dan selalu pengsan.
"Tugas itu saya cuba pikul untuk meringankan tanggungan suami, tapi... saya pun ada sakit jantung," katanya yang kini menjual makanan iaitu colek dan mi celup pada bulan Ramadan ini.
Hanya itu yang mampu dilakukan ketika ini.
Berat mata memandang, berat lagi bahu Raja Rasiah yang memikulnya.
Pelbagai pekerjaan dilakukannya termasuk pernah membuat kuih-muih dan diletakkan di kedai makan, namun ia kurang mendapat sambutan.
"Sampai sekarang saya masih buat kuih, ada masa orang tempah, ada masa tidak... cuma saya pun tak boleh buat selalu sebab keadaan saya pun tak sihat sangat," katanya.
Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua lagi anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2.
Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap ponteng sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.
"Kalau duit cukup, mereka berdua akan ke sekolah.
"Ada ketikanya saya terpaksa berhutang dengan saudara mara jika terdesak, tak fikir lain dah... hanya fikirkan keluarga saja," ujarnya.
Tidak pernah berhenti berdoa, Raja Rasiah memohon agar dia mampu meneruskan hidup untuk menjaga anak-anaknya terutama Abe Ngoh.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).