ALOR SETAR - Persatuan Pembalak Negeri Kedah (PPNK) menyokong Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) sebagai taman negeri namun perlu dinilai dari pelbagai sudut terlebih dahulu.
Pengerusi Persatuan Pembalak Negeri Kedah (PPNK), Wan Muhammad Amin Mokhtar berkata, langkah pewartaan ini dilihat sebagai satu usaha strategik yang dapat menjamin kelestarian sumber air negeri Kedah dan negeri-negeri utara lain seperti Pulau Pinang dan Perlis.
Bagaimanapun pihaknya memohon agar kerajaan negeri dapat memberi sedikit masa bagi industri perkayuan negeri beralih kepada industri-industri baharu ini.
"Tidak semua kawasan HSUM terdedah kepada risiko air, PPNK memohon agar pembahagian HSUM yang berkeluasan kira kira 163,103 hektar dapat dilakukan secara adil dan saksama, bagi memastikan kebajikan pihak pembangunan ekonomi negeri dapat dipelihara seiring dengan kepentingan badan-badan bukan kerajaan lain yang prihatin dengan kelestarian alam sekitar negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Wan Muhammad Amin berkata, jika keseluruhan HSUM diwartakan sebagai taman negeri, kos pembangunan dan penyelenggaraan bagi kawasan yang berkeluasan 163,103 hektar (bersamaan dengan 163,103 buah padang bola) tersebut akan menambahkan beban perbelanjaan ekonomi negeri.
"Pada masa yang sama, langkah pewartaan penuh tersebut juga akan melumpuhkan industri perkayuan negeri, yang merupakan antara penyumbang utama perolehan hasil ekonomi negeri Kedah.
"Apabila pewartaan penuh dilakukan, pihak kerajaan negeri akan terpaksa menanggung kos pembangunan dan pentadbiran yang sangat tinggi dan kehilangan sebahagian besar sumber pendapatan ekonomi kerajaan negeri melalui hasil perkayuan di mana akan merencatkan usaha pihak kerajaan negeri untuk menangani peningkatan kos tersebut," katanya.
Menurutnya, pihaknya berkongsi keprihatinan dizahirkan badan-badan alam sekitar terhadap risiko kehilangan sumber air dan impak negatif namun pada abad ke 21 ini, negara mempunyai keupayaan teknologi pelbagai menangani masalah peningkatan kos tersebut.
"PPNK merasakan bahawa tindakan mewartakan keseluruhan HSUM sebagai taman negeri adalah satu pendekatan yang menafikan keupayaan negeri untuk memberi respons yang lebih inovatif, progresif dan saksama kepada masalah-masalah yang disebut itu.
"Jika dilihat dari pengalaman negeri-negeri lain yang mewartakan sebahagian hutan mereka sebagai taman negeri seperti Perak dan Pahang, unjuran hasil yang diharapkan dari taman-taman negeri tersebut gagal untuk menepati sasaran, dan ianya telah memaksa kerajaan negeri berkenaan untuk terus melaksanakan projek pembalakan bagi menampung keperluan ekonomi negeri," katanya.
Wan Muhammad Amin berkata, jika kerajaan negeri Kedah melakukan perkara yang sama tanpa terlebih dahulu menilai secara keseluruhan kesan-kesan pembangunan taman negeri ini kepada ekonomi negeri, Kedah berisiko menghadapi situasi ekonomi yang sama sskaligus melemahkan lagi kedudukan ekonomi negeri.
"Pada masa sekarang, peranan besar yang diletakkan di bahu Kedah sebagai penjamin kesiagaan makanan (food security) dan kesiagaan air (water security) tidak seiring dengan keupayaan semasa ekonomi negeri, dan oleh sebab itu, PPNK melihat bahawa fokus yang lebih penting adalah untuk menambahbaik prestasi sumber ekonomi negeri terlebih dahulu, agar negeri dapat benar-benar melaksanakan tanggungjawab menjaga kesiagaan air secara menyeluruh pada masa hadapan," katanya.