Yusri mahu pemain rantai import Jang

Iklan
Penyerang Kelantan, Mohd Fauzi Roslan (kanan) sekali lagi menjadi sandaran apabila bertemu Negeri Sembilan pada aksi Liga Premier di Paroi, malam esok.

KELANTAN perlu merantai kelincahan dua penyerang import Negeri Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan itu berentap dalam saingan Liga Premier di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pengendali pasukan, Yusri Che Lah mengakui kelibat penyerang import baharu dari Brazil, Igor Luiz selain Jose Almir Neto perlu diberi perhatian benteng pertahanan mereka seandainya tidak mahu kubu akhir mereka dibolosi, pada pertemuan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kalau tengok ketika Kelantan tewas besar 2-5 kepada Negeri Sembilan di Kota Bharu, tiga gol dalam tempoh 10 minit mereka hasil daripada serangan balas pantas dan saya rasa kita perlu mengekang pemain nombor sembilan (Almir Neto) itu.

"Mereka juga baru mengikat pemain import baru (Igor Luiz) yang beraksi baik ketika menewaskan TFC (Terengganu FC) II baru-baru ini, jadi kita kena sekat dua penyerang ini agar tidak memberi masalah kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Pada masa sama, jurulatih berusia 43 tahun itu turut mengingatkan barisan pemainnya agar tidak melakukan kesilapan berulang yang boleh menyebabkan pasukannya terus gagal mencatatkan kemenangan untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Menurutnya, anak buahnya tidak boleh beraksi dengan corak permainan terbuka kerana mereka sudah pasti akan menghukum dengan serangan balas pantas skuad kendalian Mohd Zan Mat Aris.

Iklan

"Saya telah ingatkan mereka agar lebih fokus dan kita terpaksa ubah sedikti percaturan taktikal kerana perlu mengejar mata memandangkan pasukan di atas iaitu Sarawak dan UKM FC tidak terlalu jauh perbezaan mata.

"Apa yang perlu saya fikirkan untuk pertemuan ini adalah kita kena berusaha mendapatkan mata bagi memastikan Kelantan kekal di Liga Premier terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Yusri terus menagih kepercayaan pemain tempatan berikutan The Red Warriors sekali lagi tidak akan menurunkan tenaga import tunggal mereka untuk berdepan skuad Jang itu.

"Kita akan terus berjuang tanpa pemain import walaupun saya telah lihat tanda-tanda pemulihan Cassio (de Jesus) untuk kembali beraksi cuma untuk pertemuan malam esok, saya masih bergantung kudrat pemain tempatan,” katanya.