JOHOR BAHRU - Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak agar tidak bermain mercun sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.
Exco Pendidikan, Aminolhuda Hasan berkata, bukan sahaja ibu bapa, bahkan guru-guru juga perlu berperanan memberi ingatan kepada para pelajar.
"Saya ingin berpesan kepada guru-guru dan ibu bapa, pastikan anak-anak bermain mercun di bawah pemantauan. Guru-guru pesan pada pelajar.
"Kalau anak-anak main mercun atau bunga api itu, pastikan tidak berbahaya kepada diri juga orang lain," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan perlu dipertingkatkan.
"Kerajaan tidak pernah menarik balik larangan (memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api) jadi ia memang salah di sisi undang-undang.
"Jadi saya minta pihak berkaitan pantau perkara ini. Bagaimana masih ada bekalan masuk ke negara kita ataupun ada kilang yang memproses di negara kita?," katanya.
Katanya, meskipun ada kaum tertentu yang menyifatkan mercun itu sebagai tradisi mereka, namun jenis mercun itu perlulah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Pada saya memang membazir sebab macam kita bakar duit tapi mungkin pada orang lain ia membawa kebahagiaan.
"Sesetengah masyarakat kata itu tradisi mereka jadi kena benarkan jenis tertentu sahaja yang tidak berbahaya," katanya.