PGSMNJ, Puspanita bantu 15 keluarga asnaf Johor

Iklan
Yunos (kiri) beramah mesra bersama salah seorang penerima bantuan pada program berkenaan.

JOHOR BAHRU - Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor (PGSMNJ) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 15 keluarga asnaf di sekitar bandaraya ini semalam.

Para penerima tersebut menerima sumbangan menerusi program Santuni Asnaf 2019 dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Johor.

Iklan
Iklan

Pengerusi PGSMNJ, Yunos Ismail berkata, daripada 15 keluarga, 11 daripadanya merupakan penduduk di Flat Larkin di sini manakala empat yang lain di sekitar kawasan Pasir Gudang.

"Kesemua keluarga terbabit diserahkan bantuan berupa barangan keperluan harian seperti minyak masak, beras dan biskut serta wang sumbangan.

Iklan

"Barangan keperluan dan wang sumbangan itu merupakan hasil infaq daripada para peguam syarie di seluruh Johor dan pihak Puspanita,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan di sini.

Yunos berkata, program atas inisiatif Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita PGSMNJ itu julung kali diadakan dan diharap dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan ketika Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Iklan

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya merancang meneruskan program sama pada masa hadapan.

"Tahniah kepada Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita PGSMNJ atas inisiatif program ini (Santuni Asnaf 2019) walaupun dilakukan dalam tempoh yang singkat.

"Alhamdulillah program ini berjaya dilaksanakan dan diserahkan kepada penerimanya, kami harap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kemeriahan kepada mereka menjelang Aidilfitri tahun ini,” katanya.