Beli kelengkapan Aidilfitri hasil sumbangan ramai

Iklan
Sukarelawan Fisabilillah TRG (kanan) mengagihkan barangan keperluan Aidilfitri kepada penerima.

KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM52,000 yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai membolehkan seramai 330 golongan kurang berkemampuan mendapatkan kelengkapan sempena kehadiran Syawal menerusi 'Baju Raya Project 2019' yang diadakan di Mydin Mall, di sini.

Usaha mengagihkan bantuan bagi membeli kelengkapan Aidilfitri itu dilakukan sekumpulan 30 orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai sukarelawan Fisabilillah TRG.

Iklan
Iklan

Seorang sukarelawan, Muhammad Syariezal Ab Rashid, 35, berkata, setiap seorang penerima menerima peruntukan sebanyak RM150 bagi membeli persiapan Aidilfitri kali ini.

"Secara keseluruhan, sebanyak RM52,000 dibelanjakan bagi program 'Baju Raya Project 2019' kali ini dan kita jangka akan adakan lagi siri pembelian kelengkapan pakaian dan persiapan Aidilfitri selepas ini.

Iklan

"Ia bagi menyalurkan kesemua sumbangan dan derma orang ramai yang dikumpulkan kepada golongan memerlukan," katanya.

Ditanya bagaimana mengetahui latar belakang penerima, katanya, ia dikenal pasti melalui siri kunjungan ke rumah-rumah golongan itu.

Iklan

Sebahagian daripada 330 penerima sumbangan sempena 'Baju Raya Project 2019' yang diadakan di Mydin Mall, di sini.

"Ada penerima yang memang dikenal pasti mempunyai tanggungan yang ramai tetapi pendapatan yang rendah. Kesemua anak yang ditanggung berusia seawal sehari hingga 17 tahun mendapat sumbangan ini.

"Antara penerima sumbangan kali ini datangnya dari beberapa daerah antaranya Kuala Terengganu, Marang dan Setiu. Ada juga penerima dalam kalangan anak-anak yatim yang ditempatkan di asrama di daerah Kuala Nerus," katanya.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, lebih 2,000 orang menerima manfaat menerusi program pembelian pakaian sekolah, hari raya dan sumbangan dari rumah ke rumah yang dilakukan oleh sukarelawan itu.