KUALA TERENGGANU - Cuti hujung minggu bermula semalam menyaksikan kawasan dataran di Pesisir Payang, berhampiran jambatan angkat atau 'drawbridge' dibanjiri ribuan pengunjung yang datang ke situ untuk berbuka puasa.
Kawasan itu menjadi tumpuan ramai berikutan pemandangan menarik berlatarbelakangkan jambatan angkat atau Kuala Terengganu City Centre (KTCC) drawbridge yang pembinaannya kini lebih 85 peratus siap.
Manakan tidak, kesemua kawasan parkir kereta yang disediakan di kawasan itu bermula dari Pulau Warisan hingga ke Pesisir Payang dan Dataran Shahbandar dipenuhi kenderaan.
Untuk sampai ke dataran itu sahaja, penulis terpaksa menempuhi kesesakan lalu lintas selama hampir setengah jam.
Seorang pengunjung dari Bachok, Kelantan, Mohd Azram Kamaludin, 39, berkata, selama ini, dia belum pernah menyaksikan 'perhimpunan' sebesar itu ketika masuk waktu berbuka puasa.
"Memang meriah sungguh iftar (berbuka puasa) dekat drawbridge ni. Sebelum ni saya tak pernah menyaksikan perhimpunan sebesar ini waktu berbuka puasa di Kelantan.
"Bagi saya, impak drawbridge ni sungguh hebat sehingga ramai yang datang ke sini semata-mata untuk menyaksikan pemandangan cantik drawbrige bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya yang tiba di Terengganu, kelmarin.
Guru Sekolah Menengah Seri Nipah, Bachok itu datang bersama isteri, Nur fara Aida Anuar, 28 serta dua anak dan bermalam di rumah ibunya di Jalan Panji Alam, di sini.
Katanya, sebelum ini dia hanya melihat gambar drawbridge yang ditularkan menerusi laman sosial Facebook dan rasa teruja untuk melihat secara dekat.
"Sebelum ni tengok gambar viral sahaja, tak sangka sambutan terhadap drawbridge semeriah ini waktu berbuka puasa.
"Saya turun dari rumah mak saya tadi (semalam) jam 5 petang, setengah jam juga tempuh kesesakan untuk sampai ke sini. Mujur dapat tempat yang pemandangannya agak hampir dengan drawbridge.
"Kebanyakan yang datang iftar di sini bersama keluarga. Ia suasana yang positif, memang bagus untuk eratkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Pengkalan Chepa, Kelantan, Nur Zafierah Mohd, 29, berkata, dia berkunjung ke situ bersama rakan semata-mata untuk melihat pemandangan drawbridge.
"Saya suka pemandangan di sini, sangat cantik dan makanan yang dijual di bazar Ramadan (Dataran Shahbandar) juga banyak yang sedap-sedap sampai rambang mata nak pilih mana satu.
"Rasa berbaloi berbuka puasa sambil nikmati pemandangan laut walaupun tempuh kesesakan lalu lintas hampir setengah jam bermula jam 6.55 petang hingga jam 7.20 malam," katanya.