Menara Warisan Merdeka dijangka siap awal tahun 2021

Iklan
Abdul Rahman bergambar dengan 150 anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama 150 anak yatim dari empat rumah kebajikan di Menara PNB Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, semalam.
PROJEK Menara Warisan Merdeka yang bakal menjadi ikonik baharu negara selaku bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dijangka siap menjelang awal tahun 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan 118 tingkat setinggi 630 meter itu sedang giat dijalankan dan terkini perkembangannya ditingkat 61.

"InsyaALLAH ia akan dapat disiapkan seperti yang dirancang mungkin awal tahun 2021 nanti. Sekarang pun dah nampak betapa tinggi Menara Merdeka 118.

"Berhubung dengan perangkaan kos, walaupun ada peningkatan material, namun kos masih tetap sama dibelanjakan sepertimana di dalam kontrak,” katanya pada pemberita mengulas mengenai perkembangan projek berkenaan pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama 150 anak yatim dari empat rumah kebajikan di Menara PNB Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Empat rumah kebajikan terbabit adalah, Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Islam dan Miskin Daerah Sabak Bernam; Pertubuhan Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat, Banting; Rumah Siti Khadijah Anak-anak Yatim Puteri, Klang; dan Persatuan Jagaan Pertubuhan Pengurusan Agama Kebajikan Anak-anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam.

PNB turut menghulurkan sumbangan berupa duit raya sebanyak RM100 setiap seorang dan barangan keperluan diri berupa sebuah beg sandang dan tuala mandi selain turut menyumbang RM10,000 masing-masing kepada empat pertubuhan tersebut.