Tugas letup bedil cabaran hebat buat Muhammad Azwan

Iklan
Muhammad Azwan akan berada seawal jam 6.30 petang di Bukit Pak Apil untuk menyediakan peralatan meletupkan bedil.

KUALA TERENGGANU - Di saat orang lain meraikan waktu berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga, lain pula bagi seorang piroteknik, Muhammad Azwan Razali.

Tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi menjaga signal berbuka puasa dan bersahur bagi seluruh umat Islam di daerah ini dilaksanakan sebaik mungkin.

Iklan
Iklan

Pemuda berusia 26 tahun itu ditugaskan meletupkan bedil di Bukit Pak Apil, di sini, sebagai tanda masuknya waktu berbuka puasa dan imsak sepanjang Ramadan ini.

"Sebulan di sini, tanpa keluarga memang saat mencabar bagi saya. Rasa rindu pada keluarga memang ada, tapi sebab tugas, saya perlu berlapang dada.

Iklan

"Saya agak gugup kali pertama tekan suis untuk letupkan bunga api (bedil) sebab belum biasa jumpa sebesar dan sekuat ini," kata anak kelahiran Kuala Kubu Baru, Selangor itu.

Menurutnya, dia akan berada di situ pada dua waktu iaitu seawal jam 6.30 petang dan jam 4.30 pagi bersama seorang polis pengiring dari Bahagian Persenjataan dan Bahan Letupan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu.

Iklan
Muhammad Azwan Razali

"Biasanya saya akan beli juadah berbuka puasa lebih awal sebab tepat jam 6.30 petang saya dah ada kat sini untuk buat persediaan.

"Waktu tu saya akan masukkan bola bunga api ke dalam paip besi atau pelancar dan menyambung wayar dengan alat kawalan yang terletak pada kedudukan 30 meter dari lokasi bunga api," kata kakitangan Red Flame Special Effect itu.

Muhammad Azwan yang berpengalaman selama lima tahun dalam pemasangan bunga api berkata, dia akan memasang radio bagi mendapatkan gambaran lebih jelas masuknya waktu maghrib.

"Disebabkan berada di puncak bukit, bunyi azan mungkin tidak begitu jelas, saya akan 'standby' radio dengan memasang saluran Terengganu.

"Dua saat selepas azan berkumandang, saya akan terus tekan suis dan bunyi kuat hasil letupan bunga api akan dapat didengar dalam tempoh dua saat juga," katanya.

Bunga api akan meletup pada jarak 200 hingga 220 meter diudara berserta bunyi yang kuat.

Sementara itu, katanya, dia akan berada di Bukit Pak Apil seawal jam 4.30 pagi bagi memasang bedil untuk menandakan masuknya waktu imsak.

"Saya akan bersahur awal dalam jam 3 pagi dan akan smpai di sini dalam jam 4.30 untuk 'set up' peralatan.

"Biasanya saya akan bawa minuman dan makanan ringan sahaja sebab saya perlu bersedia untuk letupkan bedil sebanyak dua kali.

"Letupan pertama dilakukan lima minit sebelum masuk waktu imsak dan letupan kedua bagi menandakan telah masuknya waktu imsak," katanya.

Tembakan bedil sebanyak sekali ketika masuk waktu berbuka puasa dan sebanyak dua kali ketika waktu imsak adalah isyarat yang sinonim didengari oleh penduduk di sekitar daerah Kuala Terengganu dan sebahagian daerah lain sepanjang Ramadan.

Dua saat selepas azan berkumandang, Muhammad Azwan akan menekan suis bagi menandakan telah masuknya waktu berbuka puasa.

Tembakan itu menggunakan bola bunga api bersaiz lapan inci untuk menghasilkan bunyi yang padat dan kuat.

Selain itu, terdapat juga lapan paip besi yang bersaiz besar dipacak untuk digunakan bagi melancarkan bunga api ke udara.

Apabila suis ditekan, satu bunyi kecil kedengaran di pekarangan lokasi letupan dan dalam masa yang sama bunga api akan terhasil pada ketinggian 200 hingga 220 meter di udara berserta bunyi yang kuat yang boleh didengar pada jarak sehingga 10 kilometer.