LAHAD DATU - Seorang juruteknik penapis air yang dimarahi ibunya kerana curang, mengugut mahu membunuh wanita itu menggunakan pedang samurai, di sebuah rumah di Taman Pertama Satu, di sini, pada Khamis.
Ekoran kejadian 9 malam itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ibu suspek berusia 53 tahun membuat laporan polis sejurus selepas insiden itu kerana takut.
"Suspek berusia 27 tahun itu kemudiannya ditahan selepas menyerah diri ke balai polis dan suspek ditahan reman, sejak semalam, selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Nasri, kejadian itu berpunca apabila suspek memarahi isterinya selepas isterinya menemui satu beg tangan dipercayai milik teman wanitanya di dalam pakaiannya.
"Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara suspek dan isterinya sebelum mangsa yang mendengar pergaduhan itu bertanya hal sebenar kepada suspek.
"Namun suspek tiba-tiba bertindak agresif mengamuk serta mengambil sebilah pedang dari dapur dan menghunus kepada mangsa, selain mahu membunuh semua yang berada di dalam rumah itu," katanya. Menurut Nasri, isteri suspek bagaimana pun mengambil pedang berkenaan daripada suspek dan meminta suaminya bertenang, sebelum suspek keluar daripada rumah.
Nasri berkata, mangsa yang tidak bekerja tinggal di rumah suspek bersama isterinya serta enam anak mereka.
Polis turut merampas sebilah pedang dipercayai digunakan suspek untuk mengugut mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama