KLANG - Kesengsaraan kira-kira 15,000 penduduk Taman Botanik dan Ambang Botanik, di sini yang berdepan masalah air tangki kumbahan sejak lebih 10 tahun lalu bakal berakhir tidak lama lagi.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak terlibat bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan ke atas sistem kumbahan jenis vakum.
"Kita telah mengadakan perbincangan antara pemaju iaitu Gamuda Land Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn (operator pembentungan) dan persatuan penduduk.
"Kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan ke atas sistem kumbahan itu akan bermula pada Jun ini dan akan mengambil masa selama 12 bulan.
"Kos bagi kerja-kerja ini menelan belanja RM60 juta juta melibatkan peruntukan RM30 juta dari SPAN dan RM30 juta dari Gamadu Land Sdn Bhd," katanya pada sidang media SPAN, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Suruhanjaya SPAN, Datuk Ir Dr Hasnul Mohamad Salleh; Pengurus Besar Gamuda Land, Ir Chu Wai Lune; Presiden Persatuan Penduduk Ambang Botanik, Caleb Khoo dan Presiden Persatuan Bandar Botanik, Jacob Mathews.
Sementara itu, Hasnul berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja menaiktaraf sistem paip baharu sepanjang 16 kilometer.
"Selain itu, kita turut menjalankan kerja-kerja menukar satu chamber (kebuk penyedut) kepada dua chamber (kebuk penyedut ) dan kita menjangkakan projek ini akan siap 70 hingga 80 peratus dalam masa tujuh bulan.
"Penduduk berkemungkinan akan berdepan dengan masalah gangguan bunyi dan aliran trafik sepanjang kerja-kerja pembaikan ini berjalan.
"Namun kita akan cuba mengurangkan gangguan itu dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada penduduk terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Caleb yang mewakili persatuan penduduk di situ berkata, penduduk gembira apabila masalah membelenggu mereka sejak 2008 akhirnya selesai.
"Masalah ini bukan kecil sehingga memaksa mereka membersihkan air kumbahan dari pembetungan yang mengalir ke dalam dan juga luar rumah.
"Namun selepas mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat, kami lega akhirnya masalah itu bakal selesai.
"Kerja-kerja naik taraf ini untuk kebaikan semua penduduk di sini pada masa hadapan dan saya yakin kita semua boleh bertolak-ansur kerana ia demi kebaikan kita semua," katanya.