Pengguna CTS meningkat menjelang hari raya

Iklan
Adly turut meninjau kawasan CTS dibahagian bas ekspres Melaka Sentral

MELAKA TENGAH - Terminal Melaka Sentral mencatatkan seramai 10,000 pengguna sehari dan jumlah itu dijangka mencecah 20,000 orang menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, banyak faktor yang mempengaruhi peningkatan sekali ganda itu termasuk penggunaan sistem baharu iaitu Sistem Tiket Berpusat (CTS) lebih efisien dan telus yang mula dilaksanakan sejak Mac lalu.

"Pelaksanaannya bertepatan dengan musim perayaan mahupun cuti sekolah tidak lama lagi yang mana dapat menggelakkan kes penipuan seperti ulat tiket, ketidakseragaman harga tiket.

Iklan

"Kelewatan bas serta mengurangkan risiko penukaran bas di saat akhir juga dapat dielakkan kerana semua transaksi pembelian dipantau keseluruhannya melalui sistem teknologi," katanya.

Adly ketika perasmian Sistem Tiket Berpusat (CTS) dan penyampaian sumbangan tahunan Hari Raya Aidilfitiri di Melaka Sentral hari ini.

Adly berkata demikian selepas merasmikan CTS dan penyampaian sumbangan tahunan Aidilfitri di Melaka Sentral di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab; Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), G Saminanthanl Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee dan Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB), Md Yusof Abdullah.

Menurutnya, lebih utama CTS lebih menekankan aspek keselamatan pengguna terutama golongan wanita kerana sistem itu mempunyai butiran pengguna sekali gus mengurangkan risiko sebarang jenayah, selain menjimatkan masa.

"Sistem ini ia mengubah sistem konvensional yang sedia ada kerana banyak perkara dapat dipertingkatkan serta memastikan jadual perjalanan bas. Boleh mengetahui maklumat pengguna kerana dari segi keselamatan ia penting, begitu juga kawalan harga kerana di musim perayaan ia (harga tiket) sering menjadi isu.

"Kalau kita lihat perkembangan dalam kalangan pengguna mereka cukup selesa dan 70 peratus pengguna menggunakan sistem layan diri dalam masa sama pihak pengurusan akan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka," katanya.

Adly berkata, MSSB turut memperuntukkan RM5 juta kos menaik taraf pembangunan di sekitar terminal bagi memberi keselesaan dan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna pada masa akan datang.

"Selain kemudahan bas, kita turut menyarankan pengguna terutama pelancong di Melaka Sentral menggunakan perkhidmatan teksi berdaftar bagi tujuan keselamatan," katanya.

Affifah Hanie

Sementara itu guru, Affifah Hanie Azlan, 28, yang mahu pulang ke Klang, Selangor berkata, dia selesa dengan kemudahan baharu disediakan di terminal itu termasuk prosedur pembelian tiket di mesin elektronik kerana lebih jelas dan boleh dibeli secara dalam talian (online).

"Sistem ini sangat membantu, cuma tidak banyak pilihan waktu pelepasan berbanding di terminal lain jadi saya perlu bersedia lebih awal," katanya yang membeli tiket pulang RM17 termasuk kos pas menunggu berlepas dan insurans nyawa.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Adly turut menyampaikan sumbangan insentif Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pemandu teksi, cek duit raya berjumlah RM250.

Hamper turut diberikan kepada Persatuan Pemandu Teksi yang beroperasi di Melaka Sentral selain pampasan kepada balu pemandu teksi dan kereta sewa melalui perlindungan pelan takaful Barakah Wealth Melaka Sentral.