SHAH ALAM - Polis mengesahkan suspek utama kes pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin telah menyewa bersama Ketua Jururawat Hospital Serdang itu di unit kondominium Third Avenue di Cyberjaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mereka berdua menyewa bersama sejak Januari lalu di unit kondominium itu yang juga lokasi mayat Siti Kharina ditemukan.
"Suspek lelaki warga Nigeria itu juga mempunyai kad akses masuk ke kondominium berkenaan dan kediaman itu disewa atas nama Siti Kharina.
"Berdasarkan siasatan polis ke atas suspek dan juga keterangan saksi-saksi lain mendapati, Siti Kharina hanya secara on off (tidak setiap hari) menginap di kondominium berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Fadzil berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dengan jenayah lain seperti love scam atau dadah dan sebagainya.
"Bagi melengkapkan siasatan, polis telah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan dan tidak menolak kemungkinan untuk memanggil lagi beberapa individu lain dalam masa terdekat.
"Motif pembunuhan masih dalam siasatan namun polis telah menemui beberapa petunjuk baharu dan setakat ini tidak akan didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, dengan penahanan tiga suspek ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai berjaya diselesaikan,” katanya lagi.
Pada 17 Mei, seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.
Lelaki berusia 36 tahun itu yang dipercayai suspek utama pembunuhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 16 Mei, polis menahan reman dua rakan suspek iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang membawa kepada penahanan suspek.
Pada 15 Mei, mayat Siti Khairina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.
Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya.
Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun. Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah.