PARIT BUNTAR - Inisiatif mewujudkan Akta Wakaf bagi mengawal selia aktiviti wakaf di peringkat Pusat bakal disiapkan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Akta Wakaf dirangka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu kini dalam proses kajian dan drafn membabitkan regulatori yang cukup kuat perlu disediakan untuk menghindar sebarang kecurangan tatacara pengurusan wakaf.
Menurutnya, pada ketika ini, Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (Jawhar) yang turut terbabit dalam merangka akta itu sedang meneliti beberapa negara mempunyai tatacara pengurusan wakaf efisien seperti Turki untuk dijadikan contoh di samping menerima pandangan Peguam Negara.
"Keperluan Akta Wakaf ini penting bagi menjadi penanda aras, model atau rujukan negeri-negeri supaya mereka turut mewujudkan enakmen wakaf di negeri masing-masing.
"Setakat ini, hanya beberapa negeri sahaja mempunyai enakmen wakaf cukup asas dan kerajaan pusat mempunyai kekangan memastikan tadbir urus wakaf di peringkat negeri dapat diselia dengan baik kerana pengurusan wakaf dan zakat di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada fakir miskin di Dewan MPKK Tanjung Piandang di sini hari ini.
Mujahid berkata, di samping penyediaan Akta Wakaf kelak, pihaknya juga akan berusaha memperbaiki hubungan penyelarasan di antara lembaga zakat negeri dengan kerajaan Pusat.
"Hubungan baik itu penting bagi memastikan usaha mempertingkatkan kebolehan selia pantau kerajaan Pusat terhadap entiti pengurusan zakat negeri dapat dicapai," katanya.
Sementara itu, Mujahid memberi jaminan tindakan susulan diambil adalah berasaskan fakta dan bukti serta tidak mempunyai agenda balas dendam berhubung kes penyelewengan membabitkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapiem) yang terdedah sebelum ini.
Menurutnya, susulan pelantikan satu firma audit bebas, Pricewatercooper bagi membuat siasatan bebas terhadap kes itu sebelum ini, pihaknya memaklumkan sudah menerima laporan berkenaannya, namun belum bersedia mendedahkannya lagi.
"Cuma apa boleh saya katakan isu membabitkan Yapiem berlaku disebabkan beberapa faktor seperti pemberian gaji dan bonus tinggi, pembelian sebuah syarikat dalam keadaan rugi, isu urus tadbir tidak telus dan urusan mempunyai konflik berkepentingan.
"Paling penting, tumpuan memulihkan dan menetapkan hala tuju Yapiem mesti tidak boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam dan kami yakin yayasan itu mampu dipulihkan secara bijaksana dan berlandaskan undang-undang sebagaimana Tabung Haji sebelum ini," katanya.