PH kena fokus agenda Malaysia Baharu

Iklan
Mujahid

SHAH ALAM - Penghijrahan beramai-ramai bekas pemimpin Umno ke dalam PH tidak seharusnya menimbulkan panik parti komponen itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, sebaliknya semua parti komponen PH mesti terus kekal fokus kepada perancangan asal iaitu sebuah Malaysia Baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, parti komponen itu harus fokus kepada apakah sebab mereka diangkat oleh rakyat dan suatu mesej jelas perlu dihantar kepada pemimpin Umno yang berhijrah.

"Apa yang PH harus bimbang ialah sekiranya penghijrahan secara berjemaah orang Umno bukan atas pelantar kita tetapi membawa sama pelantar mereka yang sudah reput lantas membahayakan pelantar Malaysia Baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Malah Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menyifatkan, penghijrahan bekas pemimpun Umno beramai-ramai ke dalam PH boleh dianggap sebagai satu lagi faktor gangguan kepada Malaysia Baharu.

"Semua ini proses menyalin kulit bagi PH, dan pemimpin PH harus menangani ini sebagai proses untuk membina harapan rakyat kepada kemunculan Malaysia Baharu yang sepatutnya menjadi tarikan kepada faktor penghijrahan Umno secara jemaah.

Iklan

"Hanya dengan faktor Malaysia Baharu, kemasukan mereka dapat memperkukuhkan PH, jika tanpa faktor tarikan ini, PH perlu berhati-hati terutama faktor kemunculan BN 2.0 dan Umno 3.0.

"Fokus, fokus dan fokus... Jangan hilang arah. Kerja untuk PH belum selesai malah baharu sahaja bermula.

"PH tetap harus fokus, kepada sebab mendapat kepercayaan rakyat untuk menjadi pemerintah baru setelah 60 tahun hegemoni BN. Sebab kemenangan PH adalah jelas bahawa pengundi mahukan perubahan dari politik lama kepada politik baru,” katanya.

Mujahid memberitahu, kefasadan politik dengan amalan rasuah serta pecah amanah kerajaan BN hanyalah penegasan kepada mengapa Malaysia memerlukan wajah baharu justeru pemerintah yang bebas rasuah menjadi tema diusung oleh penggerak PH pra PRU14.

"Kefasadan politik membawa kepada penderitaan hidup rakyat. Subsidi sudah tidak mampu menampung kerana ketirisan berleluasa, maka kehidupan golongan bawahan tertekan.

"Isu bebanan hutang seisi rumah kerana kos hidup yang menghimpit membawa kita kepada isu harian rakyat yang mencetuskan satu kaedah meringankan beban rakyat dengan melihat secara rentas permasalahan kos hidup bukan hanya melalui BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia),” katanya.

Mujahid menambah, kerajaan PH tidak harus tunduk kepada sebarang tekanan malah PH mesti mempertahankan kewibawaan Malaysia Baru dan tekanan ini tidak seharusnya memperlahankan usaha reformasi institusi utama yang akan membentuk makna Malaysia Baru sebenarnya.

"Kerajaan harus tegas dan tegar mempertahankan prinsip Malaysia tanpa prejudis kaum walaupun diasak oleh retorik dan khayalan 'Melayu dan Islam diancam',” katanya lagi.