RAWANG - Rumah Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dibaling cat merah dan letupan molotov cocktail di Taman Muhibbah di sini baru-baru ini.
Norhayati Ahmad yang baru menyandang jawatan itu berkata, kejadian berlaku pada 28 April dan 13 Mei lalu.
"Rumah saya dibaling dua plastik cat merah pada kejadian pertama ketika saya berada di luar negara atas urusan kerja.
"Pada 13 Mei, pelaku bertindak lebih agresif dengan membaling cat dan molotov cocktail sehingga menyebabkan berlaku letupan yang kuat serta kebakaran kecil pada bahagian bumbung," katanya ketika menerima lawatan ADUN Gombak Setia yang juga Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham dan Pemangku Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad hari ini.
Hayati akui terkesan dengan kejadian itu dan berhasrat melepaskan jawatan itu demi keselamatan diri dan keluarga.
"Jiran juga terima tempiasnya dan berada dalam ketakutan.
"Hasrat lepas jawatan saya luahkan kepada suami namun diberikan sokongan meneruskan tanggungjawab ini. Saya turut terima sokongan dari rakan sekerja dan juga pihak atasan," katanya.
Sementara itu, Hilman menyelar tindakan pelaku yang disifatkan pengecut menggunakan ugutan untuk menakutkan penguatkuasaaan dilakukan.
"Kehadiran saya pada hari ini adalah sebagai menyatakan solidariti dan sokongan kepada Norhayati, mempertahankan penjawat awam.
"Ini adalah tindakan pengecut bermotifkan untuk menggugat keselamatan atau mengurangkan tindakan-tindakan tegas yang diambil Jabatan Penguatkuasaan MPS mutakhir ini.
"Saya bersyukur walaupun dua kali kejadian ancaman berlaku, beliau masih bermotivasi untuk melaksanakan tugasnya," katanya.
Laporan polis telah dibuat susulan kejadian tersebut dan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kediaman Norhayati sebagai pemantauan keselamatan.