SHAH ALAM - Meskipun dilabel dengan pelbagai tuduhan seperti memecahbelahkan masyarakat dan pengganas, pendakwa antarabangsa, Dr Zakir Abdul Karim Naik atau lebih dikenali dengan Dr Zakir Naik berkata, perjuangan menyampaikan dakwah tidak pernah pudar.
Bercakap pada ceramah khas sempena Ramadan, beliau berkata, masih ramai rakan-rakan bukan Islam yang mengenali dirinya menyayangi beliau.
"Hanya mereka yang tidak mengenai dengan rapat akan membenci saya. Lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi pada kempen pilihan memburuk-burukkan saya.
"Percaya atau tidak dalam psikologi (pendekatan kempen pilihan raya) Modi beliau menyebut sembilan kali nama Zakir Naik dalam tempoh dua minit hanya untuk menakut-nakutkan bukan Islam bahawa saya adalah pengganas," katanya.
Menurutnya, menjadi kewajipan orang Islam untuk menyampaikan dakwah kepada bukan Islam.
"Ketika menuntut di universiti dalam bidang perubatan di Mumbai, India, saya sering berdakwah kepada rakan dan pensyarah bukan Islam walaupun ditegah oleh kawan-kawan beragama Islam.
"Biasanya, kita takut persahabatan dengan rakan bukan Islam terputus tetapi sepatutnya kita tidak takut hubungan kita dengan ALLAH. Kita perlu optimistik dan bukan pesimistik," katanya.
Beliau turut mengingatkan pihak berwajib supaya menjadikan masjid sebagai lokasi menyampaikan dakwah kepada bukan Islam.
"Mungkin pemandu pelancong yang membawa pelancong bukan Islam melawat masjid boleh melakukannya. Adalah lebih baik kita menyampaikan dakwah berbanding bercerita tentang seni bina, keluasan dan kos pembinaan masjid.
"Kalau kita tak boleh tukar pegangan atau agama mereka kepada Islam, sekurang-kurangnya kita mampu memadamkan kebencian terhadap Islam," katanya.