COLOMBO - Penduduk Islam di Sri Lanka semalam menunaikan solat Jumaat dengan kawalan ketat tentera dan polis.
Kebanyakan masjid rosak teruk akibat menjadi sasaran serangan ketika rusuhan ganas anti-Islam tercetus pada minggu lalu yang turut meragut nyawa seorang penduduk Islam.
Iklan
Iklan
Pemegang amanah di Masjid Kinyama yang paling teruk terjejas di wilayah Utara Barat, M I M Siddeeque berkata, serpihan kaca telah dibersihkan, namun tingkap, perabot dan sistem pembesar suara untuk laungan azan masih belum dibaiki.
"Terdapat kira-kira 450 hingga 500 jemaah. Seramai enam tentera berkawal di luar masjid dan anggota polis ditempatkan di sepanjang jalan,” ujarnya.
Menurut polis, tiada insiden besar walaupun rusuhan kecil dilaporkan di beberapa lokasi.
"Polis terus mengawal situasi dan keadaan kini kembali normal,” kata jurucakap pihak berkuasa selepas perintah berkurung seluruh negara ditarik balik kelmarin.
Rusuhan ganas anti-Islam itu berlaku tiga minggu selepas siri serangan bom dipercayai didalangi kumpulan ekstremis tempatan menyasarkan tiga gereja dan hotel mewah di Colombo yang meragut sekurang-kurangnya 258 nyawa pada 21 April lalu. - Agensi