TANGKAK - Setiap rakyat di negara ini perlu terus patuh kepada undang-undang dan perlembagaan negara bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara contoh.
Menteri Dalam Negeri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika rakyat terus berpegang kepada prinsip itu, negara akan terus dapat dimajukan dan dibangunkan lebih berjaya daripada apa yang ada hari ini.
"Negara kita perlu terus kekal menjadi sebuah negara yang aman, sejahtera dan tidak ada apa-apa boleh mengancam kesejahteraan hidup yang tulen dalam negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim di Masjid Dato’ Hj Abd Ghani, Sagil Parit 2 di sini malam ini.
Menurutnya, Malaysia berjaya mempertahankan keamanan negara tanpa sebarang pergolakan walaupun mempunyai rakyat majmuk dan berbilang bangsa dan agama.
"Namun begitu kita sedar bahawa kerajaan menghadapi pelbagai cabaran antaranya ialah bagaimana hendak meningkatkan kerjasama ukhwah dan perpaduan umat Islam sesama kita.
"Jangan ada perbalahan dan jangan ada perpecahan disebabkan terdapat perbezaan ideologi dan pendapat-pendapat yang tidak serupa antara kita," katanya.
Muhyiddin berkata, oleh sebab itulah umat Islam perlu menjadikan bulan Ramadan sebagai iktibar dengan meningkatkan usaha secara bersungguh-sungguh berdasar apa yang dituntut Islam bagi menjadi umat contoh dan berjaya. - Bernama