AKTA digubal oleh Dewan Undangan Negeri adalah denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali.
Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan tentang hukuman sebat syariah kerana penulis telah beberapa kali membincangkannya di dalam ruangan yang lepas. Hari ini, penulis akan membicarakan hukuman penjara atau al habs dalam undang-undang Islam.
Akta disebut di atas pernah diusahakan untuk dipinda tetapi tiada kesampaian.Hukuman pemenjaraan bukan hanya dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil di Malaysia malah ia juga dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di setiap negeri di Malaysia.
Walaupun hukuman penjara oleh Mahkamah Syariah ini terhad kepada tempoh maksimum selama tiga tahun sahaja (berbanding dengan Mahkamah Sivil yang boleh menjatuhkan hukuman pemenjaraan sehingga seumur hidup) namun hakikatnya memang Mahkamah Syariah mempunyai kuasa dan telahpun menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah.
Pelbagai kesalahan jenayah syariah apabila disabitkan boleh dijatuhi hukuman pemenjaraan terhadap pesalah seperti yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.
Pemenjaraan dalam Islam bertujuan antara lainnya memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Ia tidak hanya bertujuan untuk menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka sahaja. Banduan di dalam penjara syariah pula perlu diberi layanan sewajarnya, tidak boleh diseksa dan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mengamalkan agamanya. Apatah lagi kesalahan jenayah syariah adalah kesalahan yang tidak mempunyai mangsa.
Buat masa ini semua pesalah sama ada pesalah jenayah sivil ataupun jenayah syariah ditempatkan di dalam penjara yang sama. Ini bermakna seorang pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran ataupun melanggar fatwa mufti diletakkan dipenjara yang sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.
Implikasinya dikhuatiri juga pesalah syariah ini akan terdedah dengan pesalah lain dan apabila keluar kelak mereka bukannya insaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi lebih teruk daripada itu serta cuba melakukan kesalahan lain pula.
Dalam hal yang demikian sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah yang lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh pemenjaraan itu pemulihan aqidah, akhlak dan adab dilakukan agar tatkala mereka melangkah keluar dari penjara berkenaan mereka keluar dengan penuh keinsafan dan bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan itu.
Dari sudut pakaian sahaja kita sudah boleh melihat pakaian yang dikenakan oleh banduan di penjara tidak menutup aurat mereka. Dari aspek ini sahaja kita sudah boleh nampak ketidakpatuhan kepada syariah. Modul, pakaian, layanan dan aktiviti di penjara syariah mestilah digarap mengikut piawaian yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.
Kesalahan
Mungkin cetusan pandangan ini membawa implikasi yang besar dari segi kewangan kerajaan termasuk perbelanjaan dan penjawatan pegawai awam. Namun keperluan penjara syariah amat mendesak memandangkan kadar kesalahan jenayah syariah semakin hari semakin berganda dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan apatah lagi apabila penjara sivil yang telah terlalu sesak dan tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka.
Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara yang ada sekarang gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka. Seringkali kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka merasakan lebih selesa berada di sana.
Hal ini mengakibatkan kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung mereka di penjara. Sifat punitif pemenjaraan itu telah dikesampingkan kerana tiada atau kurangnya nilai keagamaan disemai di dalam penjara.
Bukanlah penulis mengatakan tiada langsung program keagamaan diadakan di dalam penjara tetapi apabila dicampurkan antara pesalah-pesalah berat ini dengan pesalah syariah amat tidak sesuai bagi mereka ini dikumpulkan bersama.
Pendekatan rohani adalah acara terbaik ke arah pendidikan banduan kerana banduan ini mempunyai lompang rohani yang besar di dalam diri mereka dan tersasar jauh dari landasan keagamaan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia