TANGGAL 16 Mei merupakan tarikh keramat bagi menghargai dan menyanjung tinggi jasa guru yang telah menabur bakti sejak sekian lamanya.
Hampir setiap individu sudah tentunya pernah bersekolah dan mengenali guru.
Malah terus terkenang dengan sosok individu yang mengajar, membimbing dan mendidik kita.
Bermula di sekolahlah kita belajar mengenal huruf dan mengira dan kini kita merupakan produk dan hasil didikan seorang guru. Siapa pun kita sekarang, tidak mungkin akan 'berjaya' tanpa meletakkan peranan guru di atas kejayaan dan kemasyhuran yang kita kecapi.
Guru, cikgu atau pendidik merupakan insan yang paling penting bagi pembinaan negara bangsa. Pembangunan negara yang kita kecapi merupakan reflikasi atau cernaan guru yang mendidik sehingga terhasilnya seorang pemimpin, pentadbir, politikus, ekonomis, sarjana, doktor, peguam, jurutera, arkitek dan profesion yang lain.
Mengangkat tema Hari Guru 2019, 'Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi' melambangkan pengorbanan dan jasa guru sebenarnya tidak pernah padam dalam hati sanubari pelajarnya.
Ibarat guru dan murid berpisah tiada. Guru mendidik murid sehingga berjaya. Manakala murid berjaya akan tetap menghargai gurunya sepanjang hajat.
Tema kali ini juga berhasrat untuk memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca serta menzahirkan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca.
Sambutan Hari Guru adalah lambang pengiktirafan khas guru-guru di seluruh pelosok negara atas segala pengorbanan dan sumbangan besar mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga kini."Terima kasih cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam mendidik anak bangsa melaksanakan tanggungjawab mulia ini. Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat.
Sambutan pada tahun ini juga bertujuan meraikan kejayaan dan sumbangan guru membentuk serta melahirkan murid cemerlang dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pendidikan.
Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion perguruan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect).
Kita yakin bahawa sistem pendidikan yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya mencintai negara.
Sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga juga atas sumbangan dan jasa warga pendidik ke arah membangunkan modal insan negara.
Kita perlu mengucapkan terima kasih semua warga KPM, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Negeri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak Yayasan yang menabur bakti terhadap pendidikan negara.
Sebenarnya guru bukan sahaja berperanan mendidik di persekitaran sekolah sahaja. Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan.
Dengan kepelbagaian isu yang melingkari kita masa kini, guru berperanan memupuk dan menanam rasa muhibah dan semangat patriotik sejak di alam persekolahan lagi.
Guru perlu membimbing generasi muda untuk menjadi pewaris kepimpinan negara tanpa mengira latar belakang mahupun perbezaan kaum dan agama.
Guru jugalah yang menggilap potensi murid untuk memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, mengamalkan nilai-nilai murni serta bersedia dalam menghadapi cabaran masa kini.
* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara