Bacalah, jangan mudah kecam: Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful Wan Jan. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

MUKADIMAH:

Selepas setahun Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menjadi perhatian golongan muda terutama daripada peminjam tabung berkenaan.

Iklan
Iklan

Selepas kerajaan menghapuskan senarai hitam dan meletakkan syarat pembayaran semula pada tangga gaji RM4,000, PTPTN berdepan dengan cabaran untuk mengutip semula wang pinjaman berkenaan.

Ikuti penjelasan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan bagi mendapat pencerahan terhadap risiko yang bakal dihadapi perbadanan itu sekiranya peminjam terus culas melakukan pembayaran.

Iklan

Apakah halangan atau rintangan dihadapi PTPTN dalam mengutip bayaran balik pinjaman?

WAN SAIFUL: Cabaran paling besar adalah memastikan 356,000 peminjam yang tidak pernah buat bayaran balik memulakan bayaran pinjaman mereka walaupun dalam jumlah paling minimum setiap bulan. PTPTN juga perlu mengkaji latar belakang kewangan peminjam yang menyebabkan mereka tidak bayar. Mungkin ada yang tidak mampu atau tidak mendapat pekerjaan. Kita mesti bantu kumpulan ini, sebab itulah peminjam terlibat perlu datang berunding dengan PTPTN.

Iklan

Tambahan pula, pembayaran pinjaman PTPTN boleh dilaksanakan dengan mudah mengikut kemampuan kewangan peminjam sehingga mereka berumur 60 tahun melalui kaedah penstrukturan semula pinjaman.

Adakah PTPTN akan menggunakan pendekatan lembut atau lain-lain?

WAN SAIFUL: Sejak saya ambil alih, kita memang ubah strategi ke arah lebih lembut tanpa menafikan kewajipan hutang dibayar. Terdapat tiga strategi utama setakat ini bagi memastikan peminjam menunaikan tanggungjawab iaitu melalui kesedaran, disiplin dan penguatkuasaan.

Yang pertama, PTPTN mengambil pelbagai langkah mesra dalam meningkatkan kesedaran peminjam membuat bayaran balik seperti kempen kesedaran melalui media, forum dan taklimat di institusi kerajaan serta swasta, taklimat bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, penubuhan cawangan PTPTN di seluruh negara, kepelbagaian saluran bayaran balik, pemberian insentif kepada majikan untuk potongan gaji kakitangan melalui program Sahabat dan banyak lagi.

Yang kedua, peminjam culas akan disenaraikan dalam CCRIS untuk menggalakkan peminjam lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman yang telah diambil. Menyedari CCRIS melaporkan rekod pinjaman kepada institusi kewangan, peminjam PTPTN khususnya peminjam tegar akan lebih bertanggungjawab untuk memastikan komitmen bayaran bulanan mereka dibuat dengan konsisten. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menjejaskan tahap kepercayaan kredit (creditworthiness) peminjam. Tapi kalau mereka berdisiplin, maka rekod CCRIS akan positif dan mudah mendapat kemudahan bank lain. Yang ketiga adalah penguatkuasaan perundangan. Walaupun amat jarang kita lakukan, ia penting untuk memastikan peminjam tidak memandang remeh tanggungjawab melunaskan sesuatu pinjaman.

Selain itu, PTPTN sentiasa cuba untuk memudahkan peminjam dengan memberikan pelbagai pilihan saluran bayaran balik kepada peminjam.

Apakah risiko terhadap PTPTN jika masih ramai culas membayar pinjaman?

WAN SAIFUL: PTPTN ketika ini menanggung hutang RM40 bilion yang dijamin kerajaan. Risiko atau kemungkinan bakal dihadapi PTPTN sekiranya jumlah itu terus meningkat adalah tanggungan hutang diunjurkan akan meningkat kepada RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang. Untuk jangka masa panjang pasti ia akan menggugat kelestarian pinjaman PTPTN untuk generasi akan datang.

Wan Saiful Wan Jan. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Yang paling memberi kesan kepada rakyat ialah risiko PTPTN tidak lagi dapat meneruskan fungsinya untuk memberi pinjaman pendidikan kepada anak-anak yang akan ke IPT pada masa hadapan.

Yang paling saya bimbang adalah untuk memastikan kita boleh terus beri pinjaman kepada anak-anak yang masih bersekolah hari ini untuk mereka masuk IPT. Kajian kita mendapati bahawa setiap RM7,000 yang tidak dikutip tahun ini akan menyebabkan seorang lulusan SPM tidak akan dapat pinjaman tahun hadapan.

Kita perlu seimbangkan tuntutan anak muda yang tamat IPT dengan kehendak ibu bapa yang mahu kita sediakan dana untuk anak mereka di tahun mendatang.

Kutipan bayaran balik kita pada 2018 menurun kerana pada awal 2018 kerajaan terdahulu mengubah dasar dan membenarkan peminjam menunggu 12 bulan sebelum mula bayar balik. Sebelum itu hanya enam bulan. Jadi pada 2018, bilangan pelajar yang perlu mula membayar menurun, maka jumlah kutipan pun berkurang.

Cadangan sekatan semula ke luar negara terhadap peminjam menyebabkan tuan dikecam, boleh beri penjelasan?

WAN SAIFUL: Manifesto kerajaan untuk mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya dilaksanakan oleh PTPTN melibatkan seramai 429,945 peminjam.

Ini menepati janji 100 hari manifesto kerajaan kepada masyarakat Malaysia yang merupakan peminjam PTPTN.

Saya tidak pernah menyatakan untuk menguatkuasakan semula senarai hitam Jabatan Imigresen daripada ke luar negara ke atas peminjam. Dan secara peribadi sememangnya saya tidak setuju dengan cadangan sesetengah pihak untuk kita perkenalkan semula sekatan ini.

Tetapi melalui konsultasi yang kita adakan antara Disember hingga Mac, banyak pihak yang masih mencadangkan sekatan itu dikembalikan dan ada juga idea-idea sekatan lain yang perlu dikenakan jika peminjam yang mampu membayar mahu lari daripada tanggungjawab.

Setakat ini saya tidak selesa dengan idea mengembalikan sekatan imigresen sebab itulah dalam dokumen konsultasi, ia tidak ada pun dalam senarai.

Mereka yang terburu-buru mengecam, baik dalam kerajaan mahupun rakyat biasa, saya rasa memberi kecaman tanpa membaca terlebih dahulu dokumen konsultasi dengan penuh.

Ini adalah simptom zaman sekarang. Kita terburu-buru memberi komen kadang-kadang hanya setelah membaca tajuk mesej WhatsApp.

Selepas setahun memegang PTPTN bagaimana tuan melihat pencapaiannya selepas Adam Adli mengatakan tuan gagal menguruskan PTPTN?

WAN SAIFUL: Tugasan PTPTN memang mencabar kerana ia berkait dengan mengutip hutang. Kerja kutip hutang pasti tidak popular, namun ia satu cabaran yang saya rasa boleh diselesaikan jika kita berdisiplin dan fokus dalam mencari solusi.

Kertas konsultasi rakyat dan semua data-data yang kita bentangkan telah melalui beberapa pusingan perbincangan dengan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Kewangan. Saya juga beri taklimat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin. Komen-komen mereka telah kita ambil untuk perbaiki kertas konsultasi itu.

Sekarang kita persembahkan kepada rakyat agar mereka juga boleh memberi komen setelah membaca maklumat terkini yang kita berikan. Jadi saya seru agar semua pihak menggunakan saluran yang disediakan di laman web PTPTN sehingga 13 Jun ini atau hadir ke sesi-sesi townhall seluruh negara untuk beri pandangan.

Transformasi PTPTN merupakan suatu proses yang bukan hanya petik jari ia menjadi. Kami di PTPTN akan ambil semua komen sebagai obor dalam membakar semangat untuk terus maju ke hadapan dalam membantu anak muda yang ingin ke menara gading.