SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempelawa masyarakat bukan Islam di Malaysia hadir mendengar dan berinteraksi dengan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik pada program yang bakal dianjurkan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia lebih baik berbanding mendengar tuduhan dan dakwaan melalui maklumat yang tidak tepat.
"Selaku pihak yang bertanggungjawab menampilkan Zakir pada Ceramah Khas Ramadan dan Majlis Iftar semalam, beliau mengupas mengenai Islam dengan sangat mudah dan jelas untuk difahami.
"Berdasarkan penjelasan itu, tidak ada sebab orang curiga dan mendakwa beliau sebagai punca pecah belahkan masyarakat. Kehadiran beliau memberi manfaat kepada semua orang khususnya Islam bagaimana mahu mempersembahkan agama kita kepada bukan Islam," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Khas dan Majlis Iftar bersama Dr Zakir Naik.
Katanya, selain daripada menyentuh tentang bulan Ramadan sebagai isi utama ceramah, penjelasan mengenai beberapa soalan yang diajukan peserta juga disampaikan dengan baik.
"Cara beliau menjelaskan sesuatu perkara itu dengan mudah untuk difahami menjadikan beliau sebagai tokoh yang disegani diperingkat antarabangsa.
"Majlis ini telah disertai 300 orang dan ia suatu yang menggalakkan. Insya-ALLAH kita akan teruskan lagi siri ceramah ini bersama Zakir pada masa akan datang," katanya.