KUALA LUMPUR - Sebuah kilang memproses mi kuning dan kuey teow di Taman Sri Ehsan, Kepong, di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana beroperasi tanpa sijil halal yang sah.
Dalam serbuan jam 11 malam, kelmarin, kilang itu yang dipercayai beroperasi sejak 16 tahun lalu itu dikesan tidak memperbaharui logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak sembilan tahun lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azeem Nazuri berkata, serbuan dengan kekuatan 27 anggota itu turut mendapat kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAKIM.
"Hasil pemeriksaan mengesan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperaku mana-mana makanan, barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang itu adalah halal.
"Serbuan kemudian menyita puluhan bungkus kuey teow, laksa panjang, laksa pendek, plastik pembungkus kuey teow dan plastik pembungkus mi kuning selain pelbagai dokumen," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, dianggarkan kesemua nilai barang disita ini berjumlah RM2,020.
Katanya, susulan itu, pihaknya turut merekod keterangan pemilik serta pekerja kilang terbabit bagi membantu siasatan.
Tambahnya, siasatan mendapati kilang pemprosesan ini gagal memperbaharui sijil halal selepas tamat pada tahun 2010 lalu.
"Siasatan masih dijalankan, sekiranya disabit salah, mereka terlibat boleh dikenakan denda serta penjara," katanya.
Tegasnya, penyalahgunaan logo halal pada produk makanan adalah satu kesalahan serius kerana ia boleh mengelirukan pengguna, terutama umat Islam.