ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi hilang tanpa jejak selepas keluar berseorangan pada 5 Mei lalu.
Kehilangan secara misteri itu membuatkan kumpulan-kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi serta ahli keluarganya giat mencari individu berkenaan.
Presiden kumpulan NVOG & Friends, Ahmad Fazrul Shahril berkata, Ali Idris, 48, atau dikenali sebagai Ali Kuda dalam kalangan sahabat penunggang masih lagi belum ditemui sejak kali terakhir pulang ke rumah di Kepala Batas, Alor Setar pada 4 Mei lalu dari Pulau Redang, Terengganu.
Menurutnya, lelaki itu sebelumnya bersama trip bermotosikal bersama Kelab Bikers dari utara Kedah.
"Pada keesokan harinya, isterinya mendapati Ali kurang sihat serta tubuhnya menggigil.
"Dia kemudian keluar dari rumah dan tidak pulang sehingga hari ini. Dah dua minggu dia tak balik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Tambahnya, kehilangan Ali Kuda dianggap misteri oleh semua yang mengenali lelaki itu.
Beliau berkata, kali terakhir Ali dapat dihubungi melalui alat komunikasi di aplikasi WhatsApp 5 Mei yang lalu.
"Kali terakhir ahli keluarga Ali dan rakan bikers menerima mesej dihantar melalui WhatsApp daripadanya ialah pada 7 Mei jam 5.41 pagi.
"Selepas itu nombor talian telefon bimbitnya tidak lagi dapat dihubungi sehingga ke hari ini," katanya.
Fazrul berkata, Ali dikhuatiri terlibat dengan kemalangan seorang diri.
"Lokasi terakhir yang berjaya dikesan oleh sistem GPS telefon yang ditinggalkannya ialah sekitar kawasan Kuala Lipis.
"Dia menunggang motosikal bernombor plat pendaftaran PMQ 6083. Beberapa laporan polis telah dibuat oleh keluarganya sejak 7 Mei yang lalu dan sehingga kini belum ada lagi tanda-tanda atau kesan berkaitan dengan dirinya," katanya.
Fazrul berkata, masyarakat yang mempunyai maklumat diharap dapat tampil membantu.
"Jika ada sebarang maklumat atau info berkaitan dengan Ali Kuda diminta melaporkan kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Aezly 0194509990 dengan segera," katanya.