PUCHONG - Polis Selangor berjaya membongkar satu kegiatan tidak bermoral dalam Operasi Ops Noda di sebuah premis terletak di Bandar Puchong Jaya, di sini malam tadi.
Operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu membongkar kegiatan urutan berahi dilakukan wanita warga asing yang berselindung disebalik premis refleksologi.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, lima wanita warga China berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan.
Menurutnya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun disyaki penjaga premis.
"Polis kemudian merampas pelbagai barang antaranya tuala, minyak urut, tisu basah serta wang tunai.
"Siasatan mendapati, premis yang telah beroperasi sejak sebulan lalu ini menawarkan khidmat urutan badan ke badan (B2B) dengan harga RM70 untuk satu sesi" katanya.
Beliau berkata, bukan itu sahaja, premis ini juga menggunakan aplikasi Wechat untuk mencari pelanggan selain pelanggan yang 'walk-in'.
Katanya, malah semakan juga mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen.
"Siasatan masih dijalankan dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.