RANTAU PANJANG -"Itu bukan rumah saya," demikian tegas Khoo Ah Keong, 36, pemilik sebuah pondok di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Parit, Chetok di sini.
Ah Keong berkata, gambar pondoknya yang ditularkan di laman sosial Facebook itu tidak benar sama sekali kerana ia hanya tempat untuk menghilangkan penat selepas mencari ikan di sungai.
"Saya terkejut apabila diberitahu oleh penduduk bahawa gambar pondok itu tular di Facebook.
"Kenyataan dientri tersebut seperti menggambarkan pondok ini diduduki orang miskin yang tidak berkemampuan memiliki rumah dan ia tidak benar," katanya.
Menurutnya, dia sebenarnya tinggal bersama keluarga dan rumahnya hanya terletak beberapa meter dari pondok tersebut.
Katanya, pondok itu juga turut dijadikan sebagai pangkalan bot.
Semalam, tular dilaman sosial Facebook apabila seorang ahli politik membuat naik gambar pondok tersebut dengan menulis status berbunyi : derita anak muda Kelantan berumah di atas sungai.
Ahli politik itu turut menulis
Kelantan negeri paling ramai miskin tegar di semenanjung (Sumber Jawapan Parlimen 16 Julai -16 Ogos 2018) dan remaja Kelantan paling banyak menangih dadah di Malaysia (Sumber Jawapan Parlimen 24 Oktober 2018).
Tulisan ahli politik itu kemudian tular dan menerima kecaman teruk dari netizen yang berkongsi pautan tersebut.
Selepas menerima kecaman teruk, ahli politik itu kemudian memadam status tersebut di entri Facebook miliknya.