KUALA LUMPUR - Perayaan Hari Wesak yang disambut penganut Buddha di seluruh negara hari ini berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni, selaras dengan amalan kebebasan beragama yang menjadi lambang perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.
Penganut agama Buddha bersama anggota keluarga masing-masing mula mengunjungi kuil-kuil pada awal pagi bagi menjalankan upacara keagamaan dan memberi penghormatan kepada Siddharta Gautama, pengasas agama itu.
Sambutan yang meriah tetapi sederhana itu dapat disaksikan apabila seramai kira-kira 3,000 penganut Buddha mengunjungi Tokong Buddha Maha Vihara, Brickfields di sini bagi menjalankan upacara keagamaan dengan menyalakan lilin serta membawa bunga-bungaan sebagai melambangkan kelahiran, kesedaran dan kematian Gautama Buddha.
Di NEGERI SEMBILAN, penganut agama Buddha mula membanjiri dewan sembahyang di bangunan Persatuan Buddhist Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di Jalan Tan Sri Manickavasagam di sini, seawal pukul 9 pagi menyebabkan keadaan di sekitar kuil agak sesak.
Seramai 300 penganut agama itu melakukan upacara keagamaan yang dijangka berlangsung sehingga tengah hari ini.
Di MELAKA, Tokong Seck Kia Ench di Jalan Gajah Berang di sini menjadi tumpuan lebih 3,000 penganut Buddha menjalankan acara keagamaan dan penghormatan sempena perayaan itu.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari turut hadir ke tokong itu bagi mengucapkan Selamat Hari Wesak serta beramah mesra dengan penganut Buddha yang hadir.
Pusat membeli-belah di negeri ini juga kelihatan agak sesak dengan orang ramai yang tidak melepaskan peluang sempena cuti umum hari ini dan cuti ganti esok, untuk mengadakan persiapan awal sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Di JOHOR, cuaca mendung tidak menghalang 40,000 penganut agama Buddha berkumpul di Tokong Fo Ghuang Shan Hsingma Si Bathing, Skudai, di Johor Bharu, sejak awal pagi bagi melakukan upacara keagamaan dan penghormatan.
Upacara itu yang turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung turut dimeriahkan dengan persembahan tarian Broadway oleh penuntut Guang Ming Institute of Performing Arts-Cebu dari Filipina.
Di KUALA LUMPUR, tokong-tokong Buddha di sini sesak dengan kehadiran penganut yang kebanyakannya membawa jambangan bunga serta barangan keperluan asas seperti beras, minuman botol, dan makanan dalam tin untuk didermakan kepada tokong.
Bagi seorang penganut Buddha, Tham Swe Loong, 68, berkata sambutan Hari Wesak bukan sekadar menjalankan upacara keagamaan malah dijadikan sebagai hari untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Hari (Wesak) adalah hari untuk membantu golongan miskin dan kami membawa bekalan makanan untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan. Kita bertuah kerana dapat meraikan Hari Wesak dalam suasana harmoni, ini menunjukkan kita hidup dalam negara berbilang kaum yang aman damai,” katanya kepada Bernama di Kuil Maha Vihara Buddhist di sini hari ini.
Perayaan itu turut menarik perhatian pelancong dari Australia, Olivia Brown, 27, yang tidak mahu melepaskan peluang merasai kemeriahan upacara keagamaan itu.
"Menarik dapat menyaksikan ritual kerohanian yang penuh dengan tradisi menunjukkan kesetiaan dan kepercayaan mereka (penganut Buddha),” katanya.
Turut kelihatan pelbagai badan amal kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan menjalankan aktiviti sukarelawan membantu pihak pengurusan tokong dan pengunjung agar upacara sembahyang itu berjalan lancar.
Sementara itu di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah Ooi Tze Min bersama penganut agama Buddha menyambut Hari Wesak di Persatuan Buddha Kedah Tengah di Sungai Petani.
Ooi turut menasihatkan kepada penganut agama itu agar menghayati nilai-nilai ajaran agama Buddha seperti keamanan, kemanusiaan dalam kehidupan seharian sebagai menghargai kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.
Di SELANGOR, penganut Buddha di sekitar sini mengunjungi Kuil Fo Guan Shan (FGS) Dong Zen di Jenjarom, Banting bersama-sama keluarga sejak semalam untuk bersembahyang dan berdoa.
Seorang pengunjung, Lee Mun, 45, berkata tradisi turun-temurun itu diteruskan supaya anak-anaknya dapat mempelajari ilmu mengenai agama Buddha yang akan menjadikan mereka insan yang lebih baik pada masa hadapan.
Kuil itu yang menempatkan patung Buddha terbesar di negeri itu mempunyai keluasan 10.5 hektar, turut menjadi tarikan baharu pelancong selain menjadi pusat kebudayaan dan pendidikan yang penting kepada penganut Buddha.
Di PULAU PINANG, hujan yang lebat tidak menghalang penganut Buddha, termasuk seorang pemandu Grab, Tang Kwang Seng, 45, menunaikan tanggungjawab kepada agamanya untuk melakukan upacara sembahyang di Persatuan Buddha Pulau Pinang di Jalan Burma di sini.
"Walau apa jua cuaca sekalipun kita tetap datang untuk sembahyang, kena tunaikan tanggungjawab," katanya.
Di PERAK, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Anggota Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye menyertai penganut agama Buddha di negeri itu menjalankan upacara sembahyang dan keagamaan di Pusat Buddhist Malaysia Cawangan Perak di Pasir Puteh di sini sejak pagi tadi.
Beliau yang ditemui pemberita kemudiannya berkata Hari Wesak melambangkan keharmonian dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.
"Kita perlu menjaga tutur kata dan perbuatan daripada melakukan perbuatan yang tidak baik bagi mengelakkan ketidaksefahaman antara budaya dan kaum sekali gus membanteras ideologi ekstremisme," katanya.
Hari Wesak yang disambut hari ini merupakan antara festival paling meriah, dengan perarakan kereta berhias yang diserikan dengan hiasan dan bunga-bungaan berwarna-warni. -Bernama