Lambakan warga asing di Kampung Baru perlu ditangani

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Isu lambakan warga asing di Kampung Baru perlu segera ditangani berikutan terlalu banyak kes monopoli perniagaan dan masalah sosial ditimbulkan oleh golongan itu sehingga menjejaskan warga tempatan di sini.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Mohd Harun yang berkata isu yang telah sekian lama berlarutan itu perlu diselesaikan segera bagi menjamin peluang pekerjaan lebih adil kepada rakyat tempatan di kawasan ini.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya warga asing ini hanya boleh dibenarkan kerja di dalam sektor atau industri tertentu sahaja dan bukan semuanya, ini supaya kita boleh beri peluang pekerjaan yang lebih adil kepada rakyat kita sendiri terutama kepada penduduk tetap Kampung Baru," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Kasih Ramadan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata pihaknya akan berbincang lebih lanjut dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai pelan membangunkan Kampung Baru supaya isu itu dapat di atasi dengan kadar segera.

Iklan

"Perbincangan itu nanti supaya kita dapat bangunkan Kampung Baru ini dengan lebih tersusun dan teratur serta tidak mengasingkan hak warga tempatan kita terutama dalam usaha kita menghapuskan monopoli perniagaan oleh warga asing di sini serta menangani masalah sosial," katanya.

Pada majlis itu Rina turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 50 orang asnaf di sekitar Kampung Baru bagi meraikan mereka sempena Ramadan.

Iklan

Menurut Rina program itu dijangka dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 1,000 asnaf di enam sub zon di bawah Parlimen Titiwangsa. - Bernama