Tiada ancaman cacar monyet di Johor

Iklan
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor sentiasa memberikan keutamaan terhadap langkah pencegahan terhadap ancaman jangkitan cacar monyet di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, bagi tujuan tersebut, semua pegawai perubatan telah diberikan kesedaran untuk mengesan awal kes.

Iklan
Iklan

"Ini (pengesanan awal) supaya boleh diisolasi dan dirawat. Petugas di pintu-pintu masuk (ke negeri ini) juga telah diberikan pendedahan pengesanan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Selahuddeen berkata, setakat hari ini, tiada kes jangkitan cacar monyet atau monkey pox dikesan dan dilaporkan di Malaysia termasuklah di negeri ini.

Iklan

Katanya, sebelum ini, kes jangkitan hanya berlaku di Singapura di mana seorang daripadanya dikesan positif, manakala 23 yang lain berhubung rapat dengan mangsa dikuarantinkan.

"Kes terjadi dengan memakan 'bush meat' (daging haiwan liar) yang telah dijangkiti. Jangkitan menerusi manusia ke manusia boleh berlaku, tetapi menerusi 'very close contact'," katanya.

Iklan

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan mengesahkan menerima satu kes import jangkitan cacar monyet membabitkan seorang rakyat Nigeria yang tiba bulan lalu untuk menghadiri satu bengkel.

Lelaki berusia 38 tahun itu positif dijangkiti cacar monyet iaitu penyakit jarang ditemui akibat sejenis virus yang dipindahkan kepada manusia daripada haiwan.

Mangsa ditempatkan di wad isolasi di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) dan dalam keadaan stabil, manakala 23 individu lain yang berhubung rapat dengan mangsa juga dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.