SHAH ALAM - Susulan laporan berhubung dapatan kajian dilakukan oleh pensyarah daripada Univeristi Teknologi Mara (UiTM) mengenai peneroka Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah rancangan kerana wujud sekatan perundangan yang menghalang sebarang pindah milik harta terbabit kepada generasi kedua, Felda hari ini tampil menjawab perkara tersebut.
Menerusi satu kenyataan, Felda berkata, dapat kajian yang dijalankan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Majid di Felda Bukit Tangga, Kedah adalah tidak tepat kerana tidak menggambarkan situasi sebenar dan pengkajiannya tidak melihat keseluruhan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 dan akta-akta sampingan yang melibatkan pengurusan tanah rancangan itu.
"Terdapat perjanjian mengikat antara peneroka dengan Felda dan kerajaan negeri perlu dipatuhi serta suatu penghakiman dari Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 dalam kes tuntutan peneroka Kemahang 1 dan 2 di Wilayah Gua Musang yang menyatakan bahawa hubungan peneroka dan Felda adalah hubungan kontraktual.
"Felda bersama-sama dengan peneroka, pejabat tanah dan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa bekerjasama sejak awal pembangunan tanah dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 untuk menanggani isu pewarisan serta pemilikan secara holistik bagi membolehkan tanah ini diwarisi dari generasi ke generasi tanpa dibelah bagi semua waris menerima manfaatnya," katanya.
Khamis lalu, media melaporkan Rohayu menyatakan, Felda tertakluk kepada GSA 1967, sekaligus menyebabkan statusnya berbeza dengan tanah biasa di bawah Kanun Tanah Negara.
Katanya, ketika ini, 40 peratus daripada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara adalah peneroka asal dan daripada jumlah itu, hampir 79,000 adalah generasi kedua dan ketiga.
Beliau berkata, sekatan perundangan itu menyebabkan tiada sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah dan wasiat yang sah boleh dilakukan ke atas tanah itu melainkan dengan persetujuan bertulis Felda. Bagaimanapun setakat ini tiada kelulusan pernah dibenarkan.
Mengulas lanjut, Felda berkata, pihak pengkaji sepatutnya merujuk pihak pengurusan Ibu Pejabat Felda bagi memahami isi kandungan akta tersebut terlebih dahulu sebelum membuat kajian.
"Kajian dilakukan itu hanya melibatkan 130 responden di Felda Bukit Tangga, Kedah yang mempunyai 370 peneroka sedangkan jumlah peneroka seluruh Malaysia adalah seramai 112,635 orang.
"Pada masa ini, jumlah warga Felda peneroka, penerokawati, generasi baharu Felda adalah dalam lingkungan 2.5 juta orang. Sehubungan itu, kajian ini tidak boleh dijadikan bahan rujukan untuk memperkenalkan apa-apa dasar baharu yang akan merugikan semua pihak dalam Intitusi ini," katanya.
Kenyataan tersebut turut menyentuh mengenai laporan dapatan kajian yang boleh mengundang polemik dalam kalangan warga Felda terutama peneroka, penerokawati dan waris mereka yang tidak dapat mewarisi harta tersebut.
"Alasan bagi perkara ini kerana tanah berkenaan tertakluk kepada GSA 1967, hak milik berangkai iaitu tanah tapak rumah dan ladang tidak boleh dipisahkan, tiada sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah, wasiat, wakil kuasa dan sebagainya sah dilakukan ke atas Felda serta penama di atas geran-geran tidak melebihi dua orang," katanya.
Jelasnya, kajian yang dilakukan juga tidak menyebut dengan tepat akta yang menjadi persoalan iaitu Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang diguna pakai sejak 30 Mei 1960 bagi membangunkan sesuatu kawasan penempatan secara berkelompok.
"Penempatan pembangunan berkelompok itu melibatkan pemberian tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah iaitu antara 10 ekar hingga 15 ekar bagi ladang dan 0.25 ekar bagi tapak rumah bersesuaian dengan kehendak akta bagi menyediakan pendapatan kepada pemilik yang menjadi peneroka di setiap skim ditubuhkan sejak tahun 1956," katanya.
Mengulas mengenai isu hak milik berangkai, Felda berkata, ia mengikut kehendak dan peruntukan di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bertujuan memastikan setiap peneroka mempunyai tanah ladang seluas 10 ekar atau lebih dan sebidang tanah seluas 0.25 ekar sebagai tapak kediaman atau rumah bertujuan memastikan mereka menetap di skim yang dibangunkan.
"Jika hak milik ini tidak pisahkan maka akan berlakunya rumah-rumah kediaman peneroka ini akan didirikan dalam tapak ladang mereka dan akan menimbulkan ketidak seragaman dari segi penempatan selain amat sukar untuk pihak kerajaan membina kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah, klinik, kawasan perniagaan serta lain-lain kemudahan awam," katanya.