Isu gengsterisme pengaruhi undang-undang peringkat negeri: MB

Iklan
Amirudin meluangkan masa turun padang bertemu peniaga bazar Ramadan di Selayang Baru, petang tadi.

BATU CAVES - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab berlagak ala gengster dengan mengugut kakitangan awam dengan tujuan menakutkan penguat kuasa dan pegawai untuk menjalankan tugas.

Amirudin berkata, beliau memandang serius insiden rumah Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Norhayati Ahmad dibaling cat dan molotov cocktail dalam dua insiden berasingan pada 28 April dan 13 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu telah dibawa dalam mesyuarat keselamatan negeri dan disampaikan kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin agar gejala gengsterisme ditangani melalui tindakan sewajarnya.

"Gengsterisme ala mafia dengan niat mengugut penguat kuasa dan pegawai pihak berkuasa tempatan adalah satu perkembangan tak sihat yang boleh mengganggu undang-undang dalam negeri.

Iklan

"Ia perlu di ambil tindakan tegas. Saya gesa pihak luar jangan takut untuk ke depan jika diancam. Ia penting untuk menjaga keselamatan dan pelihara undang-undang sedia ada," katanya pada program edaran bubur lambuk dan kurma di Bazar Ramadan Selayang Baru, hari ini.

Amirudin membeli juadah berbuka puasa dengan membawa bekas makanan sendiri sebagai kempen tiada penggunaan plastik di Selangor sewaktu turun padang di bazar Ramadan, Selayang Baru, petang tadi.

Amirudin berkata, masalah sama perlu dibawa ke perhatian peringkat Kerajaan Persekutuan dengan menyemak semula undang-undang sedia ada sesuai untuk dikuat kuasa atau ditambah baik.

Iklan

"Cadangan menyediakan senjata kepada penguat kuasa bukan perkara pokok kerana masalah utama yang perlu diselesaikan adalah menyekat gejala gengsterisme.

"Penyediaan senjata boleh dilakukan tapi tindakan gengsterisme yang mengancam keselamatan awam perlu lebih diberikan penekanan dan ia tak sepatutnya berlaku," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan rumah Norhayati dibaling cat merah dan letupan molotov cocktail di Taman Muhibbah di sini sebelum laporan polis dibuat.

Susulan itu, polis menahan sepuluh suspek dalam dua dua tangkapan berasingan selain meminta seorang lelaki warga tempatan digelar Man Puchong tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek berusia 19 hingga 57 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan selepas ada di antaranya mengaku diupah untuk melakukan perbuatan tersebut dipercayai ada kaitan dengan tindakan tegas MPS menangani isu pelupusan sampah haram di Sungai Tua dan Batu Caves.