RAMADAN kali ini mengimbau kembali saat duka seorang ibu tunggal, Zaiton Ismail, 63, yang kehilangan insan tersayang dan tempat bergantung.
Tanggal 11 Ramadan lalu genap setahun pemergian suaminya yang meninggal dunia akibat serangan strok.
Lebih hiba, warga emas itu menggalas tanggungjawab besar menjaga seorang anak, Wan Ahmad Muzamil Wan Muhammad, 24, yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) sejak lahir.
Zaiton berkata, pada Ramadan kali ini kerinduan terhadap arwah suaminya semakin bertambah dan dia sedih mengharungi bulan mulia tanpa teman hidupnya itu.
"Memang teringat sangat sebab dia meninggal ketika bulan puasa. Bagaimanapun saya reda dan akan menjaga anak kami yang tidak boleh berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada program amal anjuran Lembaga Kemajuan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) di Masjid Sungai Karang di sini.
Sementara itu, adiknya, Zaidah Ismail, 57, berkata, bagi memastikan kebajikan kakak dan anak saudaranya terjaga, dua beranak itu dibawa tinggal bersebelahan rumahnya.
"Kakak saya seorang yang lurus dan memang perlu dipantau kehidupannya. Anaknya pula tidak boleh berjalan dan perlu perhatian 24 jam.
"Selepas suaminya meninggal, kami adik-beradik dan anak sulung kakak bersetuju membawanya tinggal di sini di kampung Cengal Lempong,” katanya.
Menurutnya, dia kini sedang membuat permohonan zakat dan mendaftarkan kakaknya untuk E-kasih.
"Anaknya yang OKU memang ada dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Bagi meringankan beban mereka saya membuat permohonan zakat dan E-kasih kerana bantuan RM300 untuk anaknya memang tidak memadai,” katanya.