IPOH - Rakyat perlu terus memelihara keharmonian hidup di negara ini biarpun dalam kalangan pelbagai kaum dan agama.
Penceramah terkemuka Datuk Mohd Kazim Elias berkata, rakyat tidak seharusnya merosakkan hubungan mesra dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang telah terjalin sejak lebih 60 tahun lalu.
Justeru menurutnya, masyarakat berbilang kaum di negara ini sepatutnya kita sudah saling memahami dan menghormati budaya, agama dan adat resam masing-masing.
"Kita dah bina bangsa Malaysia dah lebih 60 tahun. Tidak sepatutnya kita rosakkan hubungan yang terjalin sekian lama menerusi komen-komen di media sosial yang akhirnya hanya wujudkan ‘keruh’ dalam masyarakat dan hubungan makin tak selesa.
"Oleh itu kita mahu semua pihak tak kira bangsa dan agama, kita hidup di bawah bumbung yang sama, berpijak di tanah bumi Malaysia yang sama.
"Kita masing-masing hormat. Macam hari ni kita kita rasa seronok, selesa dan tenang dan saya rasa benda tu kita dah pupuk lama bila kita rosakkan dengan komen-komen negatif masing-masing hina agama antara satu sama lain, tak cantiklah kerana Islam juga melarang kita menghina agama lain dan sembahan agama orang lain dan begitu juga kita mengharapkan perkara yang sama,” katanya sempena Majlis Berbuka Puasa di Hotel MH Sungai Siput di sini malam tadi.
Hadir sama, 14 anak-anak yatim termasuk masyarakat berbilang kaum dari sekitar Sungai Siput.
Sempena majlis berkenaan Pengarah Nanyang Equity Sdn Bhd, Cheah Chee Kuan serta Pengurus Daerah Agensi YM Lim, Lim Yean Ming yang turut menyumbang berjumlah 1,000 setiap seorang sebagai sumbangan Tabung Pendidikan kepada Pusat Pendidikan Al-Barakah.
Sementara itu Yean Ming mengesyorkan agar Mohd Kazim dilabel selaku ‘tok guru’ atas usahanya merapatkan semua bangsa serta kaum di negara ini.
Katanya, program tahunan berkenaan menjadi bukti kepada usaha menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Ustaz Kazim ni boleh kita katakan ‘tok guru’ yang mampu berusaha merapatkan semua bangsa, kaum untuk satu hati tambahan pula sempena Ramadan saya anggap sebagai bulan yang mulia dan disambut dengan penuh kesyukuran
"Kalau boleh, saya juga syorkan kepada semua masyarakat, persatuan, komuniti, Ustaz Kazim ni kita boleh anggap sebagai duta persahabatan melalui agama,” katanya.