Tujuh lelaki ditahan dalam Ops Sarang

Iklan
Polis berjaya menahan sekumpulan lelaki dalam Ops Sarang semalam.

JEMPOL - Polis berjaya menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Sarang yang diadakan di lokasi yang dikenali port koperasi lama, Serting Hilir di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, serbuan dilakukan pada jam 4 petang, dibuat atas aduan awam selain risikan yang dilakukan oleh pihaknya.

Iklan
Iklan

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pasukannya telah melihat sekumpulan lelaki berada di rumah usang dalam keadaan mencurigakan.

"Kemudian pengadu bersama anggota serbuan bertindak mengepung rumah tersebut, sebelum menjerit memperkenalkan diri sebagai polis.

Iklan

"Menyedari kehadiran polis, kumpulan tersebut bertempiaran lari, namun tujuh daripada mereka berjaya ditangkap, dan beberapa lagi berjaya melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan fizikal ke atas semua individu yang berusia antara 34 hingga 47 tahun itu, tiada menjumpai apa-apa barang yang salah.

Iklan

Katanya, mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol untuk ujian awal saringan air kencing bagi mengesan penglibatannya di dalam aktiviti penagihan dadah.

"Hasil ujian urin mendapati enam lelaki itu positif dadah, manakala seorang daripadanya negatif.

"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.