Banjir kali ini lebih teruk

Iklan
Ramli (belakang) dan isterinya Fatimah dibantu anggota polis dibawa keluar dari rumah mereka di Kampung Kijing pagi tadi.

MARANG - Sebuah keluarga dari Kampung Kijing di sini, tidak dapat menjalankan aktiviti harian termasuk keluar bekerja selepas rumah mereka ditenggelami kejadian banjir bermula awal pagi, hari ini.

Ramli Mustafa, 60, antara 279 penduduk dari daerah ini yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir, selepas beberapa kawasan kampung dinaiki air akibat hujan lebat berterusan malam tadi.

Iklan
Iklan

Beliau mendakwa, banjir kali ini agak teruk kerana dipercayai berpunca daripada kesan penambakan tanah bagi pembinaan sebuah klinik berdekatan rumah mereka yang sedang disiapkan sejak tahun lalu.

Menurutnya, kawasan rumahnya sering dilanda banjir namun keadaan menjadi lebih buruk sejak tahun lalu dan air memenuhi ruang dalam rumah dalam tempoh singkat sahaja berbanding dua tahun lalu.

Iklan

"Kalau dua tahun lepas tempat lain dulu naik air baru rumah kami. Saya bimbang sampai tak tidur dari malam tadi...Air naik jam 3 pagi lagi. Saya bimbang kerana isteri saya uzur dan anak ada seorang OKU.

"Anak saya Mohd Amirul mengidap sawan manakala isteri saya Fatimah Embong kehilangan sebelah kaki selepas dipotong Oktober lalu kerana kencing manis," katanya ditemui di rumahnya, hari ini.

Iklan

Sementara itu, seramai 279 penduduk membabitkan 73 keluarga mula ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Marang, SK Bukit Gasing dan SK Pasir Putih sehingga jam 12 tengah hari.