RANTAU PANJANG - Tindakan seorang lelaki warga Thailand yang cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu bagi mengelakkan dia bersama tiga lagi rakannya daripada ditangkap dalam serbuan di Taman Chempaka, Tanah Merah pada Jumaat lalu gagal.
Ini berikutan anggota PGA berpangkat sarjan itu menunjukkan semangat intergriti tinggi apabila menolak 'habuan' wang tunai berjumlah RM1,600 yang ditawarkan oleh lelaki berkenaan.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintanden Ramly Poncho.
Ramly berkata, dalam serbuan jam 6.15 petang itu tiga lagi rakan suspek itu terdiri dari dua wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan yang berusia antara 28 hingga 30 tahun.
"Dalam serbuan itu, kita turut merampas sebuah motosikal dan tiga buah kenderaan yang dipercayai dicuri.
"Antara kenderaan yang dirampas itu dari jenis Lexus, Perodua Myvi dan Viva," katanya ketika ditemui pemberita di Markas Operasi PGA di Lubok Stol, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Lexus yang dirampas itu adalah kereta klon dari Singapura.
Katanya, selain itu enam peket dadah jenis Syabu seberat 3.4 gram turut dirampas dalam serbuan tersebut.
"Kejayaan ini adalah hasil intipan dan kerja keras yang dilakukan oleh anggota dari unit risik," katanya.
Ramly berkata, operasi membanteras penyeludupan dan jenayah lintas sempadan akan terus diperhebatkan dari masa ke semasa.